Sedekah adalah sesuatu yang sangat dituntut oleh Islam. Allah s.w.t sendiri menjanjikan pelbagai kelebihan dan ganjaran buat mereka yang gemar bersedekah seperti panjang umur, mencegah dari mati dalam keadaan yang teruk, menghapuskan sikap sombong dan sebagainya.
Jika kita menelusuri sirah baginda Rasulullah s.a.w, sangat jelas bahawa baginda adalah seorang insan yang paling gemar bersedekah walaupun baginda sendiri serba kekurangan sehinggakan terpaksa berlapar dan dahaga. Begitu juga dengan kisah para sahabat baginda yang terdidik dengan sikap suka bersedekah.
Keluasan Konsep Sedekah
Namun ramai dari umat Islam hari ini menyempitkan definisi sedekah yang menyebabkan aktiviti sedekah itu hanya terhad kepada beberapa perkara sahaja seperti memberi wang kepada mereka yang meminta atau memerlukan. Sedangkan konsep sedekah itu sangat luas seperti sabda baginda Rasulullah s.a.w,
“Tiap-tiap anggota daripada manusia sedekah ke atasnya pada tiap-tiap hari yang terbit padanya matahari. Kamu berlaku adil antara dua orang yang berbalah adalah sedekah, dan kamu menolong seseorang menaiki kenderaanya atau menolong mengangkat barang-barangnya ke atas kenderaannya adalah sedekah, dan perkataan yang baik itu sedekah dan pada tiap-tiap langkah yang kamu membuang bahaya dari jalan juga merupakan sedekah”.Hadis riwayat Bukhari & Muslim
Jadi kali ini pihak Tim Tazkirah ingin kongsikan dengan para pembaca 10 cara kreatif untuk kita bersedekah.
#1 – Pewangi & Sabun Basuh Tangan
Jika kita selalu ke masjid di seluruh negara, maka kita akan perasan bahawa tandas masjid sangat kekurangan sabun untuk membasuh tangan. Kadang-kadang tandas juga agak berbau walaupun dicuci bersih. Jadi ada baiknya jika kita dapat belikan sabun dan juga pewangi, kemudian letakkan di masjid yang berhampiran. Insyallah ramai yang akan menggunakannya.
#2 – Selipar Untuk Masjid
Kebanyakkan masjid juga kekurangan selipar yang digunakan untuk mengambil wudhu ataupun masuk ke tandas. Jika tempat mengambil wudhu dan tandas agak jauh, maka sukar untuk mereka yang memakai kasut hendak berkaki ayam ke sana. Oleh itu sangat wajar jika kita dapat beli sepasang dua selipar jepun dan letaklah di masjid untuk kegunaan orang ramai.
#3 – Simpan Syiling
Setiap hari kita akan mendapat syiling yang banyak terutamanya dari baki pembelian. Jadi bermula hari ini apa kata wujudkan satu tabung khas untuk menyimpang baki syiling ini dan kemudian sedekahkan setiap syiling yang disimpan ini kepada mereka yang memerlukan setiap hujung bulan. Kadang-kadang tanpa kita sedar, seminggu sahaja kita dapat kumpul hampir RM10!
#4 – Berikan Baki Bayaran
Apabila kita makan diwarung kecil, membeli produk di kaki lima, naik teksi seorang pak cik tua dan mereka yang memerlukan, biasanya akan ada baki wang bagi bayaran pembelian yang kita lakukan. Contohnya kos naik teksi RM7.60 dan anda berikan wang RM10, maka anda boleh minta pemandu teksi simpan sahaja baki tersebut. Mereka biasanya sangat berterima kasih dan gembira dengan pemberian tersebut.
#5 – Kain Pelikat & Telekung
Banyak surau di tempat membeli-belah dan rawat dan rehat khususnya kekurangan kain pelikat dan telekung untuk kegunaan solat orang ramai. Apabila ditempat sebegini, kadang-kadang pakaian kita terdedah dengan banyak perkara yang kotor, jadi kain pelikat dan telekung ini menjadi satu keperluan untuk bersolat. Jika anda dapat sedekahkan kain pelikat dan telekung pastinya ramai yang dapat manafaat.
#6 – Makanan Kucing
Ramai rakyat Malaysia yang sangat sukakan kucing sebagai haiwan peliharaan, namun tidak kurang banyak juga kucing yang terbiar diluar sana. Kucing ini menjadi ganas dan menggangu orang khususnya di kedai-kedai makan kerana mereka kelaparan. Oleh itu, ada baiknya jika kita membeli makanan kucing dan berikan mereka makan apabila kita melalui sesuatu kawasan tersebut.
#7 – Tumpangkan Rakan Atau Kenalan
Allah s.w.t kurniakan kita kenderaan agar kita boleh berikan manafaat kepada ramai orang. Jika ada rakan, kenalan atau jiran yang hendak menuju ke destinasi yang sama dengan kita, maka tumpangkanlah mereka tanpa sebarang bayaran. Konsep ‘carpool‘ untuk pergi kerja juga adalah salah satu konsep sedekah yang sangat bagus.
#8 – Bantu Angkat Barang & Lintas Jalan
Nilai murni seperti membantu orang lebih tua mengangkat barang atau melintas jalan raya yang diajar ketika sekolah rendah dulu hanya tinggal kenangan. Apa kata kita hidupkan kembali nilai murni ini, contohnya jika kita sedang memandu dan ada orang hendak melintas jalan, apa kata berikan laluan untuk mereka melintas jalan terlebih dahulu. Jika ada orang sedang membawa barangan yang banyak, cuba pelawa untuk membantu mereka.
#9 – Kertas & Pen
Di mana-mana majlis ilmu sama ada ceramah, tazkirah dan kuliah di masjid, biasanya mereka yang mendengar tidak membawa sebarang pen dan juga buku catatan sedangkan kalau kita tak mencatat, maka kita akan lupa ilmu yang disampaikan. Kita boleh beli satu kotak pen dan kertas A4 untuk diagihkan di dalam majlis ilmu tersebut. Kos bagi pen dan kertas bukanlah mahal, tetapi manafaatnya sangat besar untuk menyuburkan budaya ilmu.
#10 – Damaikan Dua Pihak Yang Berbalah
Sekarang kita berada di dalam komuniti yang sangat kompleks dimana kadang-kadang manusia itu berselisih faham kerana perkara yang remeh temeh. Jika sebelum ini kita mengambil sikap berkecuali, apa kata selepas ini kita mengambil inisiatif untuk mendamaikan mana-mana pihak yang berselisih faham. Mendamaikan mereka yang berbalah juga adalah salah satu bentuk sedekah.
Rumusan – Sebarkan Perkara Yang Baik
Bersedekah yang paling baik ialah kita memberikan sesuatu yang orang benar-benar memerlukannya. Kadang-kadang kita sedekah sabun di tandas masjid itu lebih baik dari sedekahkan naskah surah Yasin di masjid yang sememangnya sudah banyak naskah al-Quran dan Yasin yang tidak dibaca.
“Setiap kebaikan adalah sedekah”Hadis Riwayat Muslim
Apabila kita menyampaikan sesuatu yang baik juga dianggap sebagai satu sedekah. Maka dengan wujudnya pelbagai sosial media sekarang, cuba gunakan untuk menyampaikan pesanan yang baik-baik untuk diri sendiri dan juga orang lain. Peringatan itu juga menjadi satu sedekah buat kita kepada orang lain.
Paling kurang, anda kongsikan artikel ini juga satu sedekah yang mana selagi mana orang membacanya, selagi itu anda mendapat saham akhiratnya. Semoga bermanafaat!
Sumber: tazkirah.net