ADAKAH SI MATI MENDENGAR DAN MENGETAHUI DARI ORANG YANG HIDUP MENZIARAHINYA?



Soalan:
Adakah si mati mendengar dan mengetahui dari orang yang hidup menziarahinya?

Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Mereka yang telah mati dikalangan kita, maka telah terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara. Ini berdasarkan sebuah hadith:
إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
Maksudnya: Jika telah mati seorang insan, terputuslah darinya segala amalan kecuali dari tiga perkara (yang akan terus mengalir pahalanya); sedekah jariah, ilmu darinya yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakannya.
Riwayat Muslim (1631)

Bagi mereka yang telah mati, kehidupan mereka di sana berlainan dengan kehidupan kita yang berada di dunia. Kanun kehidupan mereka di sana tidak mungkin untuk kita fikirkan bahkan yang sepatutnya adalah kita beriman terhadap perkara yang dinamakan sebagai sam’iyyat dan ghaibiyyat ini sepertimana yang telah dianjurkan oleh Al-Quran dan Sunnah Nabi SAW.

Jumhur ulama mengatakan bahawa orang yang mati mendengar perkataan mereka yang menzariahi mereka. Pendapat jumhur ini juga telah dirajihkan oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah Rahimahullah. (Lihat Majmu’ al-Fatwa, 24/364)
Al-Imam Ibn Qayyim al-Jawziyyah Rahimahullah mengatakan:  “Telah berijmak golongan salaf terhadap perkara itu (bahawa si mati mendengar dari kalangan orang yang menziarahinya) dan telah sabit secara mutawatir athar-athar mengenainya kerana sesungguhnya si mati mengetahui orang hidup yang menziarahinya.” (Lihat Al-Ruh,  hlm.5)
Al-Imam al-‘Izz Abd al-Salam Rahimahullah di dalam fatwanya mengatakan: “Zahirnya si mati mengetahui orang yang menziarahinya kerana telah diarahkan kepada kita untuk memberikan salam kepada mereka dan syara’ tidak menyuruh kita memberi salam kepada yang tidak mendengar.” (Lihat Qurratul’ain Bi Fatawa Ulama’ al-Haramayn. Hlm. 65)
Al-Imam Syihabuddin al-Aalusi Rahimahullah di dalam tafsirnya, Ruuh al-Ma’ani menyebutkan: “Telah berkata Ibn Abd al-Bar bahawa kebanyakan ahli ilmu berpegang kepada pendapat yang mengatakan bahawa mayat mendengar dari kalangan mereka yang menziarahinya. Ianya adalah pendapat Ibn Jarir al-Tabari dan begitu juga yang disebutkan oleh Ibn Qutaibah”. (Lihat Ruuh al-Ma’ani, 11/55)

Dalil & Hujah
Para ulama’ terdahulu dan kemudian dalam membincangkan permasalahan ini, kebanyakan melihat kepada dalil-dalil yang berikut:

Pertama: Hadith daripada Anas bin Malik RA, telah berkata Rasulullah SAW:
إِنَّ الْمَيِّتَ إِذَا وُضِعَ فِي قَبْرِهِ إِنَّهُ لَيَسْمَعُ خَفْقَ نِعَالِهِمْ إِذَا انْصَرَفُوا
Maksudnya: “Sesungguhnya mayat , setelah diletakkan di dalam kubur, dia mendengar bunyi kasut orang yang mengebumikannya ketika mereka pulang.”
Riwayat Muslim (2870)

Kedua: Hadith daripada Anas bin Malik RA yang mana menceritakan bahawa Rasulullah SAW telah meninggalkan mayat-mayat kafir Quraisy yang telah mati tanpa dikebumikan selama tiga hari dan kemudian Rasulullah SAW  pergi ke sisi mayat-mayat tersebut lalu berkata:
يَا أَبَا جَهْلِ بْنَ هِشَامٍ يَا أُمَيَّةَ بْنَ خَلَفٍ يَا عُتْبَةَ بْنَ رَبِيعَةَ يَا شَيْبَةَ بْنَ رَبِيعَةَ أَلَيْسَ قَدْ وَجَدْتُمْ مَا وَعَدَ رَبُّكُمْ حَقًّا فَإِنِّي قَدْ وَجَدْتُ مَا وَعَدَنِي رَبِّي حَقًّا ‏"‏ ‏.‏ فَسَمِعَ عُمَرُ قَوْلَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ كَيْفَ يَسْمَعُوا وَأَنَّى يُجِيبُوا وَقَدْ جَيَّفُوا قَالَ ‏"‏ وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ مَا أَنْتُمْ بِأَسْمَعَ لِمَا أَقُولُ مِنْهُمْ وَلَكِنَّهُمْ لاَ يَقْدِرُونَ أَنْ يُجِيبُوا ‏"‏ ‏.‏ ثُمَّ أَمَرَ بِهِمْ فَسُحِبُوا فَأُلْقُوا فِي قَلِيبِ بَدْرٍ
Maksudnya: “Wahai Abu Jahal bin Hisham. Wahai Umayyah bin Khalaf. Wahai ‘Utbah bin Rabi’ah. Wahai Syaibah bin Rabi’ah. Adakah kalian tidak menemukan kebenaran yang telah tuhan kalian janjikan? Sesungguhnya aku telah menemukan apa yang benar dari janji tuhanku”. Umar mendengar perkataan Nabi SAW tersebut lalu berkata: “Ya Rasulullah, bagaimana mereka boleh mendengar dan menjawab persoalan kamu itu? Sesungguhnya mayat-mayat mereka sedang mereput”. Jawab Rasulullah SAW: “Demi nyawaku yang berada di tangan-Nya. Apa yang aku katakan kepada mereka, tidaklah kalian mendengar apa yang aku katakan lebih daripada mereka tetapi mereka tidak mampu untuk menjawabnya”. Rasulullah SAW kemudiannya mengarahkan agar di tanam mayat mereka di telaga Badar.
Riwayat Muslim (2874)

Ketiga: Sabit melalui hadith Nabi SAW mengajarkan kepada sahabat agar memberikan salam apabila melalui atau menziarahi kubur orang Islam dengan mengatakan:
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ أَهْلَ الدِّيَارِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُسْلِمِينَ وَإِنَّا إِنْ شَاءَ اللَّهُ لَلَاحِقُونَ أَسْأَلُ اللَّهَ لَنَا وَلَكُمْ الْعَافِيَةَ
Maksudnya: “Salam sejahtera ke atas kalian wahai penghuni kubur dari kalangan orang mukmin dan muslim. Sesungguhnya kami juga Insya Allah akan mengikuti kalian. Aku memohon kepada Allah agar memberikan ‘afiah untuk kami dan kalian.”
Riwayat Muslim (975)

Keempat: Sebuah hadith daripada Abu Hurairah RA yang diriwayatkan oleh Abu al-Qasim Tamam di dalam kitabnya Al-Fawaid:
مَا مِنْ رَجُلٍ يَمُرُّ بِقَبْرِ رَجُلٍ كَانَ يَعْرِفُهُ فِي الدُّنْيَا، فَيُسَلِّمُ عَلَيْهِ إِلَّا عَرَفَهُ وَرَدَّ عَلَيْهِ
Maksudnya:  “Tidaklah dari seorang lelaki yang lalu di perkuburan seorang lelaki yang lain mana dia mengenalinya di dunia, mengutuskan salam ke atasnya kecuali diketahuinya dan disampaikan salamnya”.
Diriwayatkan oleh Abu al-Qasim Tamam di dalam Al-Fawaid (136)

Fatwa Dari Badan-Badan Fatwa Sedunia
Kami nyatakan di sini beberapa fatwa dari badan fatwa yang berautoriti. Antaranya:

  1. Dar al-Ifta’ al-Urdun: “Asal bagi mayat-mayat adalah mereka mendengar dan ini berdasarkan hadith mengenai kisah Badar ketika mana Rasulullah SAW berbicara kepada mayat-mayat kafir Quraisy yang telah mati dibunuh di dalam peperangan tersebut”.[1]
  2. Dar al-Ifta’ al-Misriyyah: Majlis Fatwa Negara Mesir juga menyatakan bahawa mayat mendengar, gembira dengan kedatangan orang yang menziarahinya dan juga menjawab salam orang yang menziarahinya.
  3. Majlis Fatwa United Arab Emirate (UAE) juga di dalam khulasah fatwanya mengatakan bahawa mayat di dalam kubur merasakan orang yang yang menziarahinya, mendengar salam mereka dan menjawabnya.[2]

Fatwa Ulama’
Kami juga nyatakan di sini fatwa dan pendapat beberapa tokoh ilmuan Islam terhadap permasalahan ini. Antaranya ialah:

  1. Al-Syeikh Al-Imam Abdul Aziz bin Abdullah bin Baaz (Mantan Mufti Besar Arab Saudi)Rahimahullah apabila ditanyakan mengenai perihal mayat, adakah mereka mengetahui khabar orang yang masih hidup dan adakah mereka mendengar orang yang datang menziarahi bercakap dengan mereka? Jawab Fadhilah al-Syeikh: “Ianya perlukan kepada perincian. Jika dikatakan bahawa mayat mendengar perkahabaran mereka yang hidup secara mutlak, maka tidak. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

إِنَّكَ لَا تُسۡمِعُ ٱلۡمَوۡتَىٰ
Maksudnya: Sesungguhnya Kamu Wahai Muhammad tidak dapat menjadikan orang yang mati itu mendengar.
(Al-Naml: 80)

Begitu juga dengan firman Allah SWT:
وَمَآ أَنتَ بِمُسۡمِعٖ مَّن فِي ٱلۡقُبُورِ 
Maksudnya: Dan (engkau wahai Muhammad) tidak dapat menjadikan orang-orang yang di dalam kubur mendengar (dan menerimanya).
(Faatir: 22)

Kecuali ianya jika didatangkan dengan dalil (yang menjadikan ianya perkara yang dikecualikan) seperti hadith Sahih al-Bukhari yang menceritakan bahawa mayat mendengar bunyi selipar ketika orang yang hidup beredar dari kubur si mati dan ianya telah didatangkan dengan nas.[3]

  1. Fadhilah al-Syeikh ‘Atiyyah Saqr (Mantan Ketua Lajnah Fatwa al-Azhar al-Syarif)Rahimahullah juga mengatakan bahawa mayat mendengar apa yang dikatakan oleh orang yang menziarahinya berdasarkan hadith sahih al-Bukhari mengenai mayat mendengar bunyi selipar dan peristiwa Nabi SAW bercakap dengan mayat musyrikin yang terbunuh dalam peperangan tersebut.[4]

  1. Fadhilah al-Syeikh Muhammad al-Amin bin Muhammad al-Mukhtar al-SyanqitiRahimahullah membawakan perbahasan ini di dalam tafsirnya, Adhwa’ al-Bayan fi Idhoh al-Quran bi al-Quran dengan panjang lebar sekali. Di akhirnya, fadhilah al-Syeikh menyatakan bahawa pendapat yang terpilih adalah mayat mendengar percakapan orang yang hidup dan mengetahui orang yang menziarahinya.[5]

Kesimpulan
Berdasarkan kepada kenyataan dan fatwa di atas, ianya jelas menunjukkan yang si mati mendengar dan mengetahui bagi yang menziarahinya. Semoga Allah SWT menempatkan kita kelak dan saudara-saudara kita yang telahpun pergi meninggalkan kita di kalangan orang-orang yang soleh. Amin.

Sumber: MuftiWP

Labels: islamik, semasa, tazkirah
Back To Top