Bersugi, bersiwak, miswaak atau siwak (Bahasa Arab: سواك) adalah suatu perbuatan bagi membersihkan mulut dan gigi.
Dari Syaidatina Aisyah r.ha.: “Sesungguhnya Rasulullah
ShallAllahu ‘alaihi wasallam telah bersabda :
السِّوَاكَ مَطْهَرَةٌ لِلْفَمِّ مَرْضَاةٌ
لِلرَّبِّ
“Bersugi itu
membersihkan mulut dan mendapat redha dari Tuhannya.” ( Hadis Riwayat Ahmad dan
Al Baihaqi )
Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah ShallAllahu ‘alaihi
wasallam telah bersabda :
لَوْلاَ أَنْ أَشُقَّ عَلىَ أُمَّتِي َلأَمَرْتُهُمْ
باِلسِّوَاكِ عِنْدَ كُلِّ وُضُوْءٍ
“Kalau tidaklah akan menyusahkan
umatku akan aku suruh mereka bersugi pada tiap-tiap waktu ketika berwuduk.” (
Riwayat Ahmad )
Adalah sunat bersugi pada bila-bila masa tetapi masa yang
paling dituntut ialah setelah bangun dari tidur, ketika hendak mendirikan
solat, ketika hendak membaca Al-Quran, selepas makan dan ketika berubah bau
mulut.
Bagi orang yang berpuasa tak kira sama ada puasa fardu
(Ramadhan) atau puasa sunat adalah makruh selepas gelincir matahari, iaitu
selepas masuk waktu Zuhur.
Dari Abu Hurairah r.a.h. dari Nabi SAW; “Sesungguhnya bau
mulut orang yang berpuasa itu disisi Allah SWT itu lebih harum daripada
kasturi.” ( Riwayat Muslim )
Manakala pada pendapat Imam Nawawi r.a.h bahawa tidak makruh
bersugi bagi orang yang berpuasa sama ada telah gelincir matahari atau belum
gelincir matahari.
Daripada ‘Amir bin Rabi’ah, beliau berkata: “Aku melihat
Rasulullah bersugi sedangkan beliau berpuasa.” (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Abu
Daud dll).
Alat Untuk Bersugi
Alat untuk bersugi ialah tiap-tiap sesuatu yang suci dan
kesat seperti :-
berus gigi
kayu arak (siwak)
rotan
manggar kelapa
dan lain-lain.
Cara Bersugi
Bersugi termasuk dari bersuci.Cara perlaksanaan bersugi
hendaklah dengan tangan kanan dan dimulakan dengan menggosok bahagian kanan
gigi, setelah itu bahagian yang kiri. Seterusnya dilakukan atas langit-langit
mulut dengan perlahan-lahan serta ke atas gusi dan gigi.
Sebahagian ulama berpendapat bahawa yang lebih afdal adalah
dengan tangan kanan. Kerana bersiwak adalah sunnah Nabi SAW, dan sunnah adalah
ketaatan kepada Allah SWT, dan ketaatan kepada Allah U tidak layak dilaksanakan
dengan yang kiri.
Hal ini sesuai dengan hadis ‘Aisyah:
كَانَ رَسُوْلُ اللهِ يُعْجِبُهُ التَّيَمُّنُ
فِيْ تَنَعُّلِهِ وَتَرَجُّلِهِ وَطُهُوْرِهِ وَفِيْ شَاْنِهِ كُلِّهِ
“Adalah menyenangkan Rasulullah
untuk memulakan dengan yang kanan ketika memakai sendal, menyikat rambut, ketika
bersuci, dan dalam semua keadaan”. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Fadhilat Bersugi
Di antara sebab-sebab solat orang yang bersugi itu lebih
afdhal dan lebih besar fadhilatnya kerana ia akan mendatangkan lebih khusyuk
solatnya serta dapat memelihara pergaulan yang baik di dalam jemaahnya semasa
solat dengan bau mulut yang bersih dan harum serta cahaya gigi yang segar.
Para ulama menegaskan bahawa bersugi itu mempunyai tujuh
puluh faedah. Antara faedah dan kelebihannya ialah:
Mendapat keredhaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Membersihkan dan mengharumkan bau mulut.
Menggandakan pahala amal ibadat.
Menggembirakan malaikat.
Mensucikan hati.
Menguatkan hafalan.
Meningkatkan kecerdikan.
Dapat mencerahkan mata.
Melambatkan tumbuh uban.
Mencegah gigi berlubang
Menolong menguatkan gusi.
Memutihkan dan menguatkan gigi.
Memperlancarkan saluran pernafasan.
Membantu melancarkan sistem pencernaan.
Membetulkan atau meluruskan tulang belakang.
Melancarkan kefasihan atau kepetahan pertuturan.
Dapat mengucapkan Syahadah tatkala hampir ajal.
Sekiranya tidak dapat bersugi pada tiap-tiap waktu yang
dituntut, hendaklah ia bersugi sekali dalam sehari.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RadhiAllahu ‘anhu, bahawa
Rasulullah ShallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Jika tidak mendatangkan kesusahan
ke atas umatku atau ke atas manusia nescaya aku menyuruh mereka bersiwak pada
setiap kali hendak solat.” (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Rasulullah ShallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:: “Dua
rakaat solat dengan bersugi itu terlebih baik pahalanya daripada tujuh puluh
rakaat solat dengan tidak bersugi.” (Riwayat Muslim)
Penutup
Bersugi sentiasa digalakkan tanpa mengira samada puasa
ataupun tidak. Adapun galakan bersugi bagi setiap waktu solat yang diriwayatkan
dalam hadis yang sahih adalah asas dalam amalan muslim.
.
Nabi ShallAllahu ‘alaihi wasallam dalam hadis sahih yang
lain menyatakan tujuan bersugi dengan menyebut: “Bersugi itu membersihkan mulut
dan menjadikan Tuhan redha.” (Riwayat Ahmad, an-Nasai, Ibn Hibban dll).
.
Justeru itu, jadikanlah puasa itu menzahirkan keindahan
pekerti dalam perkataan dan perbuatan yang mengeratkan hubungan baik sesama masyarakat.
Oleh itu jangan jadikan bau mulut kita menimbulkan keresahan orang lain
terhadap mereka yang berpuasa. Berpuasa dan bersugilah!
Semoga sunnah
berkaitan dengan bersugi ataupun bersiwak ini bermanfaat untuk kita
semua dan dapat kita praktikkan dalam kehidupan seharian kita.
والله أعلم بالصواب