KEMULIAAN UMAT NABI MUHAMMAD


Allah s.w.t. yang menciptakan seluruh manusia dan jin dan Dia mahu mereka menjalani kehidupan ini mengikut cara yang diredai-Nya. Oleh kerana akal fikiran manusia tidak mampu untuk menentukan dengan tepat cara menjalani kehidupan ini, maka Allah telah menghantar ribuan nabi untuk menerangkan kepada manusia tentang perkara ini. Sejak zaman Adam a.s. hingga Nabi Isa a.s., para nabi dihantar silih berganti untuk menyeru manusia kepada Allah (Ihtisamul Hasan 2002).

Setelah Allah menghantar Nabi Muhammad s.a.w., Allah telah membuat suatu ketetapan bahawa baginda adalah rasullullah dan nabi yang terakhir. Dalam masa yang sama, Allah telah menjadikan kerja dakwah yang dulunya menjadi kerja para nabi dan rasul telah dipertanggungjawabkan kepada umat Muhammad s.a.w. (Ihtisamul Hasan 2002).

 Nabi Muhammad s.a.w. telah datang ke dunia ini bukan sahaja untuk menyeru manusia kepada Allah seperti nabi-nabi yang lain, tetapi juga untuk menyediakan umat ini dengan tugas kenabian iaitu menyeru manusia kepada Allah. Kerja dakwah inilah yang telah menjadikan umat ini suatu umat yang cukup mulia mengatasi umat-umat yang lain (IbnuKasir 2000). Allah s.w.t. berfirman :

Terjemahannya : Sesungguhnya Allah telah memuliakan orang-orang yang beriman apabila dibangkitkan kepada mereka Rasul dari kalangan mereka sendiri dan membacakan ayat-ayat-Nya, dan mensucikan daripada syirik serta mengajarkan mereka Al-Kitab dan Sunnah, padahal sebelum ini mereka berada dalam kesesatan yang nyata (Ali-Imran, 3:164).

Allah s.w.t. telah memberi tanggungjawab iaitu membacakan ayat-ayat-Nya, menyucikan umat dari kesyirikan dan mengajar Al-Kitab dan Sunnah adalah tugas para nabi. Juga telah tsabit daripada Al-Quran dan Sunnah bahawa Umat Muhammad s.a.w. dihantar ke dunia untuk mengikuti jejak langkah baginda untuk menyebarkan Islam ke seluruh dunia (Muhammad Yusuf 2012). Firman Allah
Kamu adalah sebaik-baik umat yang dikeluarkan untuk manusia, kamu menyuruh kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah (Ali Imran, 3:110).

Kerja dakwah adalah kerja yang telah dipertanggungjawabkan kepada umat ini dan dengan sebab tanggungjawab inilah umat ini dimuliakan oleh Allah dengan pelbagai keutamaan. Umar bin Khattab mengatakan dalam tafsirannya berkenaan ayat ini bahawa barangsiapa yang ingin dimasukkan sebagai umat perlulah menunaikan syaratnya iaitu menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran (Ibnu Kasir 2000). Allah s.w.t. berfirman :

Terjemahannya :Katakanlah (Wahai Muhammad), “Inilah jalanku, menyeru manusia kepada Allah diatas perkara yang nyata, (jalan) aku dan pengikutku. MahaSuci Allah dan aku bukan orang yang mensyirikkan Allah (Yusuf, 12:108).

Dalam ayat ini, Allah mengarahkan Rasulullah s.a.w. mengatakan kepada manusia dan jin bahawa itulah jalannya, apa sahaja cara, sunnah dan jalannya ialah mendakwahkan syahadah bahawa tidak ada tuhan melainkan Allah  yang Esa dan tidak ada sekutu baginya. Mengajak manusia kepada Allah dengan nyata, yakin yang sempurna dan benar, inilah juga kerja sesiapa sahaja yang mengikuti baginda s.a.w. (Ibnu Kasir 2000).

Para sahabat telah mengorbankan diri dan harta mereka untuk agama Allah s.w.t. Allah telah meredai pengorbanan mereka dan sesiapa sahaja yang mengikuti mereka dengan baik (Ibnu Kasir 2000). Justeru, kita sebagai umat Muhammad s.a.w. perlu bangkit untuk mengorbankan harta, diri dan masa ini untuk kerja dakwah ini. Allah berjanji akan memberi kembali kemuliaan kepada umat Muhammad dan pertolongan-Nya akan datang kepada umat ini sekiranya umat ini bersedia mengambil kerja ini dan menjadikannya maksud hidup (Ihtisamul Hasan 2002).

Sumber: http://rasulullahdihatiku.blogspot.my/

Labels: islamik, tazkirah
Back To Top