Terkini 38 Terbunuh dalam Letupan berkembar di Istanbul



ISTANBUL – Seramai 38 orang terbunuh dan 155 lagi cedera dalam letupan berkembar di Istanbul, kata Menteri Dalam Negeri Turki, Suleyman Soylu kelmarin.
“Polis telah menahan 10 orang berkaitan serangan tersebut yang berlaku berhampiran sebuah stadium bola sepak.
“Ini merupakan tindakan keganasan,” kata Suleyman.
Menurutnya, antara mangsa yang maut termasuk 30 anggota polis dan tujuh orang awam.
Sebahagian mangsa yang cedera pula berada dalam ke­adaan parah.
Serangan terbaharu itu menyasarkan pasukan polis Turki.
Menurut beberapa saksi, kedua-dua bom itu meletup selang 45 saat di luar Vodafone Arena, stadium tuan rumah kelab bola sepak Turki, Besiktas selepas satu perlawanan bola sepak.
Ketika kejadian, kebanyakan penonton telah meninggalkan stadium tersebut.
Letupan pertama dipercayai bom kereta, manakala letupan kedua di sebuah taman dekat stadium itu merupakan serangan pengebom bunuh diri.
Serangan berlaku dua jam selepas tamat perlawanan antara kelab Besiktas dan Bursaspor di sebelah Eropah bandar raya Istanbul.
Setakat ini, belum ada pihak mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan kejam itu.
Ibu kota Turki, Ankara dan Istanbul serta beberapa kawasan lain di negara itu kerap menjadi sasaran pengeboman sejak tahun lalu.
Militan Kurdis mengaku melancarkan sebahagian serangan itu, manakala sebilangan lagi dipercayai dilakukan oleh militan Daesh. – dpa


Sumber: Kosmo Online

Labels: islamik, semasa
Back To Top