CARA MENGUBATI PENYAKIT WAS-WAS


Soalan:
Apakah cara terbaik untuk mengubati penyakit was-was terutama dalam perkara berkaitan dengan ibadat seperti taharah dan solat?

Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Was-Was Itu Datangnya Dari Syaitan
Sesuatu yang perlu ditekankan bagi mereka yang mengalami penyakit was-was ini bahawa sesungguhnya was-was itu datangnya dari syaitan dan syaitan itu adalah musuh manusia yang teramat nyata. Firman Allah SWT:
۞أَلَمۡ أَعۡهَدۡ إِلَيۡكُمۡ يَٰبَنِيٓ ءَادَمَ أَن لَّا تَعۡبُدُواْ ٱلشَّيۡطَٰنَۖ إِنَّهُۥ لَكُمۡ عَدُوّٞ مُّبِينٞ ٦٠ وَأَنِ ٱعۡبُدُونِيۚ هَٰذَا صِرَٰطٞ مُّسۡتَقِيمٞ ٦١
Maksudnya: Bukankah Aku telah memerintahkan kepadamu hai Bani Adam supaya kamu tidak menyembah syaitan? Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu",(61) dan hendaklah kamu menyembah-Ku. Inilah jalan yang lurus.
(Surah Yasin: 60-61)

Musuh manusia yang nyata ini, akan menggunakan pelbagai wasilah dalam menyesatkan manusia. Antara wasilah yang digunakan adalah dengan mencampakkan perasaan was-was kepada manusia itu sendiri. Ini jelas berdasarkan firman Allah SWT:
ٱلَّذِي يُوَسۡوِسُ فِي صُدُورِ ٱلنَّاسِ
Maksudnya: yang membisikkan (kejahatan) ke dalam dada manusia
(Surah Al-Naas: 5)

Al-Imam al-Qurtubi Rahimahullah menyatakan di dalam tafsirnya yang dimaksudkan dengan was-was syaitan itu adalah seumpama doa untuk mentaatinya dengan perkataan yang halus sehingga sampai mafhumnya ke jantung hati seseorang tanpa mendengar suaranya.

Cara Mengubati Penyakit Was-Was
Para ulama’ amat mengambil berat mengenai penyakit ini kerana jika dibiarkan berlarutan boleh menjadi sesuatu yang lebih kronik kerana ianya penyakit yang berkatan dengan jantung hati. Kami cuba nukilkan beberapa panduan dari para ulama’ dalam ikhtiar untuk memulihkan penyakit ini. Antara yang disebutkan:
  1. Mengambil Sikap Tidak Peduli: iaitu dengan membiarkan perasaan was-was tersebut. Ini sepertimana yang ditanyakan kepada al-Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullah mengenai ubat bagi penyakit was-was. Maka jawab beliau Rahimahullah:

لَهُ دَوَاءٌ نَافِعٌ وَهُوَ الْإِعْرَاضُ عَنْهَا جُمْلَةً كَافِيَةً. وَإِنْ كَانَ فِي النَّفْسِ مِنْ التَّرَدُّدِ مَا كَانَ - فَإِنَّهُ مَتَى لَمْ يَلْتَفِتْ لِذَلِكَ لَمْ يَثْبُتْ بَلْ يَذْهَبُ بَعْدَ زَمَنٍ قَلِيلٍ كَمَا جَرَّبَ ذَلِكَ الْمُوَفَّقُونَ، وَأَمَّا مَنْ أَصْغَى إلَيْهَا وَعَمِلَ بِقَضِيَّتِهَا فَإِنَّهَا لَا تَزَالُ تَزْدَادُ بِهِ حَتَّى تُخْرِجَهُ إلَى حَيِّزِ الْمَجَانِينِ بَلْ وَأَقْبَحَ مِنْهُمْ، كَمَا شَاهَدْنَاهُ فِي كَثِيرِينَ مِمَّنْ اُبْتُلُوا بِهَا وَأَصْغَوْا إلَيْهَا وَإِلَى شَيْطَانِهَا
Maksudnya: Baginya (penyakit was-was itu) ubat yang sangat bemanfaat iaitu bersikap tidak peduli secara keseluruhannya (dalam perkara yang di was-waskan itu). Meskipun di dalam dirinya terdapat perasaan was-was, selagi mana dia tidak melihat, mengambil peduli perkara was-was tersebut maka ianya tidak akan tetap bahkan akan hilang selepas beberapa ketika. Ini sepertimana yang telah dilalui oleh mereka yang telah diberi petunjuk untuk terlepas dari penyakit was-was ini. Adapun mereka yang mendengar (mengambil peduli was-was tersebut) dan mengikutinya, was-was tersebut tidak akan hilang bahkan bertambah sehingga menjadikannya gila dan boleh jadi lebih buruk dari itu sepertimana yang kita saksikan pada kebanyakan mereka yang ditimpa penyakit was-was yang mendengar dari bisikian syaitan.
[Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra. Al-Maktabah al-Islamiyyah, 1/149]

  1. Bersabar Dan Terus Mencuba: Mereka yang ditimpa penyakit was-was ini sebenarnya sedang diuji. Ianya adalah ujian menentang syaitan kerana was-was itu adalah daripada syaitan. Dalam diuji, seseorang itu perlulah sentiasa bersabar dan terus berlatih untuk menghindari penyakit was-was. Al-Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullah menukilkan perkataan Sultan al-Ulama’ al-‘Izz bin Abd al-Salam yang mana menyebut:

دَوَاءُ الْوَسْوَسَةِ أَنْ يَعْتَقِدَ أَنَّ ذَلِكَ خَاطِرٌ شَيْطَانِيٌّ، وَأَنَّ إبْلِيسَ هُوَ الَّذِي أَوْرَدَهُ عَلَيْهِ وَأَنَّهُ يُقَاتِلُهُ، فَيَكُونُ لَهُ ثَوَابُ الْمُجَاهِدِ؛ لِأَنَّهُ يُحَارِبُ عَدُوَّ اللَّهِ، فَإِذَا اسْتَشْعَرَ ذَلِكَ فَرَّ عَنْهُ
Maksudnya: Ubat bagi penyakit was-was ini adalah dengan beriktikad bahawa ianya adalah godaan syaitan dan sesungguhnya iblis, dialah yang sedang dibawa dan sedang diperangi dan baginya pahala seorang yang sedang berjihad kerana sedang memerangi musuh Allah. Sekiranya dia merasa was-was maka dia akan menghindarinya.
[Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra. Al-Maktabah al-Islamiyyah, 1/150]

  1. Mempelajari Tatacara Ibadah Yang Sahih: Mempelajari yang sahih dari tatacara beribadat dapat membantu dalam menghindari penyakit was-was. Seseorang yang ampuh pengetahuannya dalam soal agama akan mudah terpengaruh dan terikut-ikut dengan trend beragama tanpa ilmu yang benar dan akhirnya akan mengelirukan dirinya. Penyakit was-was akan mudah mengambil alih peranan akal dan jantung hati mereka yang beramal namun tidak mengatahui akan kesahihannya.

Al-Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullah sekali lagi menyebutkan:

أَنَّ الْوَسْوَسَةَ لَا تُسَلَّطُ إلَّا عَلَى مَنْ اسْتَحْكَمَ عَلَيْهِ الْجَهْلُ وَالْخَبَلُ وَصَارَ لَا تَمْيِيزَ لَهُ، وَأَمَّا مَنْ كَانَ عَلَى حَقِيقَةِ الْعِلْمِ وَالْعَقْلِ فَإِنَّهُ لَا يَخْرُجُ عَنْ الِاتِّبَاعِ وَلَا يَمِيلُ إلَى الِابْتِدَاعِ
Maksudnya: Sesungguhnya was-was itu tidak akan menguasai melainkan ke atas mereka yang jahil dan kurang akal yang tidak dapat membezakan (antara yang sahih ataupun tidak). Sedangkan mereka yang berada di atas hakikat ilmu dan akal tidak akan terkeluar daripada mengikut petunjuk dan tidak pula cenderung kepada perlakuan bid’ah.
[Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra. Al-Maktabah al-Islamiyyah, 1/150]
Selalulah kita untuk berada di dalam majlis ilmu untuk mempelajari ilmu agama khususnya dalam bab ibadat. Semoga dengan kehadiran kita ke majlis-majlis ilmu tersebut dapat menambahkan pengetahuan kita dalam beragama seterusnya dapat menghindar kita dari ditimpa penyakit was-was.

  1. Memohon Perlindungan Allah SWT: Syaitan akan selalu datang untuk membisikkan was-was kepada manusia. Disebabkan itu, perlindungan daripada Allah SWT teramatlah penting dalam usaha mengekangnya. Dalam sebuah hadith, diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah ditanyaoleh sahabat yang mana syaitan telah datang dan mengganggu ketikamana dia dalam solat dan bacaannya. Lalu Nabi SAW bersabda:

ذَاكَ شَيْطَانٌ يُقَالُ لَهُ خِنْزِبٌ فَإِذَا أَحْسَسْتَهُ فَتَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنْهُ وَاتْفِلْ عَلَى يَسَارِكَ ثَلاَثًا
Maksudnya: Itu adalah syaitan yang namanya Khinzib. Jika kamu merasa akan gangguannya, maka mohonlah perlindungan daripada Allah SWT dan ludahlah ke bahagian kirimu sebanyak tiga kali.
Riwayat Muslim (2203)

Selain itu, boleh juga berdoa kepada Allah Azza wa Jalla, sepertimana yang telah diajarkan oleh Allah SWT:

وَقُل رَّبِّ أَعُوذُ بِكَ مِنۡ هَمَزَٰتِ ٱلشَّيَٰطِينِ ٩٧ وَأَعُوذُ بِكَ رَبِّ أَن يَحۡضُرُونِ ٩

Maksudnya: 
Dan katakanlah: "Ya Tuhanku aku berlindung kepada Engkau dari bisikan-bisikan syaitan. Dan aku berlindung (pula) kepada Engkau ya Tuhanku, dari kedatangan mereka kepadaku".

(Surah al-Mu’minun: 97-98)

Juga doa yang biasa diamalkan oleh Rasulullah SAW seperti yang diriwayatkan oleh Saidina Aisyah R. Anha:
يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ وَطَاعَتِكَ
Maksudnya: Wahai (Tuhan) yang membolak-balikkan hati-hati, tetapkanlah hatiku atas agama-Mu dan ketaatan kepada-Mu.
Riwayat Imam Ahmad (26133) dalam Musnad.

Akhir kalam, dengan sedikit perkongsian yang kami berikan ini, sedikit sebanyak dapat membantu dalam memperbaiki mutu ibadah kita di samping dapat menjauhkan kita dari penyakit was-was ini.
Sentiasalah kita berdoa kepada Allah SWT agar sentiasa berada di bawah petunjuk hidayah-Nya agar dapat melakukan amal ibadah dengan cara yang sahih dan aman dari segala kekacauan dalaman ataupun luaran. Ameen.

Akhukum fillah,
S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan

15 Disember 2016 bersamaan 15 Rabi’ al-Awwal 1438 H.

Labels: islamik, semasa
Back To Top