Soalan: Bilakah waktu yang dimaksudkan dengan waktu yang mustajab pada hari Jumaat?
Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Berdasarkan soalan di atas, terdapat sebuah hadith yang sahih berkaitan hal tersebut. Hadith tersebut diriwayatkan oleh imam al-Bukhari dan juga imam Muslim di dalam sahihnya dengan lafaz yang sedikit berbeza:
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
فِي يَوْمِ الجُمُعَةِ سَاعَةٌ، لاَ يُوَافِقُهَا مُسْلِمٌ، وَهُوَ قَائِمٌ يُصَلِّي يَسْأَلُ اللَّهَ خَيْرًا إِلَّا أَعْطَاهُ
Maksudnya: “Pada hari Jumaat ini ada
satu masa yang sekiranya ditepati oleh seorang muslim dalam keadaan dia
bersolat meminta sesuatu daripada Allah SWT, pasti Allah SWT akan
memperkenankan permintaanya itu”. [Riwayat al-Bukhari (6400)]
Melihat kepada hadith di atas, kita
memahami bahawa Allah SWT telah meletakkan satu tempoh masa yang sangat
istimewa pada hari Jumaat iaitu setiap permintaan hamba-hambanya akan
dikabulkan pada waktu tersebut.
Pendapat ulama’ dalam memahami hadith tersebut
Dalam masalah ini, terdapat beberapa
pendapat yang dinyatakan oleh para ulama’ sebagaimana yang disebut oleh
Imam al-Nawawi berdasarkan pendapat al-Qadhi ketika mensyarahkan hadith
ini di dalam sahih Muslim, antaranya: [Lihat: al-Minhaj Syarah Muslim, 140/6]
- Pertama: Waktunya adalah ketika khatib duduk di atas mimbar sehingga selesai solat. Pendapat ini disokong dengan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Musa al-Asy’ari.
- Kedua: Waktunya adalah selepas asar sehingga terbenamnya matahari.
- Ketiga: Waktunya adalah ketika solat didirikan sehingga ia selesai.
- Keempat: Waktunya apabila imam keluar sehingga selesainya solat.
Di sana terdapat beberapa lagi pendapat
yang lain sebagaimana yang dinyatakan Ibn al-Qayyim di dalam karyanya
iaitu sebanyak 11 pendapat.
Pendapat Ulama’ Dalam Masalah Ini
Setelah melihat pendapat di atas, suka
bagi kami untuk mendatangkan sedikit perbahasan yang dinyatakan oleh Ibn
Qayyim al-Jauziyyah di dalam kitabnya Zad al-Ma’ad dalam menentukan
waktu yang mustajab ini:
Dalam masalah ini, terdapat dua pendapat yang kuat dan keduanya bersandar pada hadith Nabi SAW.
Pendapat Pertama: Waktu
yang dimaksudkan adalah ketika khatib duduk di atas mimbar sehingga
selesainya solat, berdasarkan hadith sahih yang diriwayatkan oleh Abu
Musa al-Asy’ari.
- Daripada Abu Musa al-Asy’ari bahawa beliau mendengar Nabi SAW bersabda apabila beliau ditanya oleh Ibn Umar tentang waktu yang mustajab tersebut:
أَسَمِعْتَ أَبَاكَ يُحَدِّثُ عَنْ رَسُولِ
اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي شَأْنِ سَاعَةِ
الْجُمُعَةِ شَيْئًا؟ قَالَ: نَعَمْ سَمِعْتُهُ يَقُولُ: سَمِعْتُ رَسُولَ
اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: "هِيَ مَا بَيْنَ أَنْ
يَجْلِسَ الْإِمَامُ إِلَى أَنْ تُقْضَى الصَّلَاةُ".
Maksudnya: Adakah kamu pernah
mendengar ayahmu meriwayatkan hadith daripada Rasulullah SW berkenaan
satu waktu (mustajab) pada hari Jumaat?”. “Ya, aku pernah mendengarnya”.
Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Ia adalah di antara
duduknya imam sehingga selesainya solat didirikan”. [Riwayat Muslim (853)]
Pendapat ini juga mempunyai beberapa
lagi hadith yang menyokong pendapat bahawa waktu mustajab tersebut
adalah ketika khatib duduk di atas mimbar sehingga selesainya solat.
Pendapat Kedua:
Waktunya adalah selepas asar. Ini adalah pendapat yang lebih kuat
berbanding dua pendapat yang kuat ini. Hujah bagi orang yang berpegang
dengan pendapat ini adalah berdasarkan riwayat imam Ahmad:
- Daripada Abu Sa’id dan Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِنَّ فِي الْجُمُعَةِ سَاعَةً لَا
يُوَافِقُهَا عَبْدٌ مُسْلِمٌ يَسْأَلُ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ فِيهَا خَيْرًا
إِلَّا أَعْطَاهُ إِيَّاهُ، وَهِيَ بَعْدَ الْعَصْرِ
Maksudnya: “Sesungguhnya terdapat
satu waktu pada hari Jumaat apabila seorang hamba muslim meminta kepada
Allah SWT akan perkara kebaikan pada waktu tersebut melainkan Allah SWT
akan memberinya apa yang yang dimintanya itu, waktu tersebut adalah
selepas asar”. [Riwayat Ahmad, (7688)] [Hadith ini adalah sahih dengan syawahidnya dan sanad hadith ini adalah dhaif menurut Syeikh Syuaib al-Arnaouth]
- Daripada Jabir bin Abdillah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
يَوْمُ الْجُمُعَةِ اثْنَتَا عَشْرَةَ
سَاعَةً، لَا يُوجَدُ فِيهَا عَبْدٌ مُسْلِمٌ يَسْأَلُ اللَّهَ شَيْئًا
إِلَّا آتَاهُ إِيَّاهُ، فَالْتَمِسُوهَا آخِرَ سَاعَةٍ بَعْدَ الْعَصْرِ
Maksudnya: “Hari Jumaat mempunyai 12
jam, padanya terdapat satu waktu yang mana tidak ada seorang hamba yang
meminta sesuatu kepada Allah SWT melainkan Allah SWT akan memberikan apa
yang dimintanya itu kepadanya. Maka carilah waktu tersebut pada akhir
waktu selepas asar ”. [Riwayat al-Nasa’ie, (1389)] [Hadith ini dinilai sahih oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani di dalam Nataij al-Afkar, 2/436]
Terdapat beberapa lagi hadith yang
menunjukkan bahawa waktu yang mustajab pada hari Jumaat tersebut adalah
selepas daripada asar. Tambahan pula, diriwayatkan Said bin Jubair
daripada Ibn Abbas RA telah berkata: Waktu yang dimaksudkan pada hari
Jumaat adalah antara solat asar sehingga terbenam matahari. Adapun Said
bin Jubair apabila beliau menunaikan solat asar, beliau tidak akan
bercakap dengan sesiapa sehingga terbenamnya matahari. Ini adalah
pendapat sebahagian besar salaf dan pada pendapat ini mempunyai hadith
yang banyak berbanding pendapat-pendapat yang lain. [Lihat: Zad al-Ma’ad, 377/1]
Pendapat Yang Dipilih
Setelah melihat perbahasan dan dalil-dalil yang dikemukan maka kami
cenderung untuk memilih pendapat yang kedua iaitu waktu yang mustajab
pada hari Jumaat adalah selepas asar sehinggalah terbenamnya matahari.
Ini kerana, dalil-dalil yang dikemukan oleh pihak ini lebih banyak dan
kuat. Selain itu juga, amalan para sahabat dan salaf juga menunjukkan
bahawa mereka amat mementingkan waktu ini sepertimana yang dilakukan
oleh Said bin Jubair RA.
Penutup
Kesimpulannya, hari Jumaat adalah hari
yang mulia dan ia juga mempunyai banyak keistimewaan, kemuliaan dan
kelebihan berbanding hari-hari yang lain. Untuk itu, kita sebagai
seorang muslim samada lelaki atau wanita perlulah mengambil berat
berkaitan perkara ini. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kesempatan
serta mengurniakan kita waktu-waktu yang istimewa seperti ini kepada
kita. Amin.
Wallahua’lam
Sumber: Mufti Wilayah