Dosa kita berbeza, mungkin taubat kita juga berbeza.



Di pagi yang hening, tatkala bulan ingin menyorokkan diri mengucapkan selamat tinggal kepada penghuni di alam fana,
tatkala sang suria mula menjengukkan diri di sebalik tirai langit,
air mata ini menitis sendiri,
terkadang aku terfikir, betapa kerdilnya diri ini di sisi Mu al-Khaliq.
setiap insan pasti akan tersalah hayunan langkah
pasti akan ada yang tergelincir dari landasan yang benar
walaupun ia sebesar zarah yang tidak dapat kita renungi dari pandangan mata kasar,
tapi pasti ada kerana kita hanyalah manusia yang masih belum matang untuk memikirkan apa itu kehidupan dunia.

Jika diberi peluang walaupun sesaat untuk kembali ke zaman kejahilan,
pasti kita akan cuba untuk tidak mengulangi kesilapan yang pernah membuatkan kita hanyut dibuai dengan noda noda dunia.
noda noda dunia yang pasti tidak akan pernah punyai tarikh luput kerana syaitan tetap hadir di sisi kita walaupun
diri cuba bertatih mendekati sang Penciptanya.

Detik detik waktu terus menyelusuri landasannya tanpa kita menyedarinya.
dan syaitan terus membisikkan suaranya supaya kita sentiasa tergelincir dari landasan
kerana syaitan itu laknatullah yang tidak pernah memberi peluang kepada umat Nabi Muhammad untuk
berada di landasan yang betul.

Dan kita sebagai umat Nabi Muhammad sentiasa layu dengan bisikan demi bisikan yang dihembuskan di telinga kita,
Kemanakah janji-janjimu wahai diri?
Adakah janji-janji yang dirimu taburkan hanyalah dongeng semata-mata.
Lupakah pada janjimu?
Yang ingin kembali ke landasan yang telah Allah tetapkan.
Inilah manusia,yang mudah alpa,yang mudah lupa dengan janji-janjinya.
Janji hanyalah janji yang akhirnya memakan diri sendiri.

Apakah nasib jika tiada lagi peluang untuk aku bertaubat kepada Mu.
Tiada lagi peluang dahi ini terus bersujud menyentuh tikar yang terbentang luas,
tiada lagi peluang untuk tangan ini mengangkat serta mengaminkan doa,
tiada lagi peluang untuk aku melunakkan lagi bacaan untuk aku sampaikan dalam kewajipan Mu Ya Allah.

Dosa

Ya Allah Ya Tuhanku,
ampunkanlah dosa hamba Mu ini.
Sesungguhnya kami hanyalah insan biasa yang tidak terlepas layu dari usikan usikan nakal syaitan yang durjana itu.
Semoga diriku ini masih diberi peluang untuk bersujud serta memohon seribu keampunan daripada Mu ya Allah.
Jika harini ini adalah hari yang terakhir,maka ampunkanlah dosa dosa ku ya Allah.
Hamba Mu ini ingin meninggal dalam keadaan suci bak sesuci kain putih yang tidak dicemari dengan noda noda dunia.
Andai hari ini hari yang terakhir,aku ingin sekali mengungkapkan kata maaf kepada ayah serta bonda ku kerana
aku pasti hati mereka pernah tercalar dek kerana kelakuan diri yang hina ini.
Semoga diri ini masih diberi peluang untuk menghirup udara Mu,mendengar kicauan burung serta melihat sang bulan yang indah menerangi bumi tatkala
manusia diselubungi kegelapan dan menyaksikan keindahan sang mentari yang sentiasa ceria menunjukkan dirinya yang gah di mata dunia.


Sumber : akuislam.com

Labels: islamik, tazkirah
Back To Top