“Mari sini mama tolong buatkan untuk sayang manja mama ni. Diana kecil lagi. Belum boleh lagi buat semua ni.”
Anak terlalu manja? Cuba ingat kembali, adakah kita melakukan hampir semua perkara untuk anak kecil yang sangat kita sayangi? Adakah kita tidak membenarkan mereka melakukan sesuatu perkara itu kerana menganggap mereka masih kecil lagi?
Jika jawapan kita adalah ‘ya’, mungkin, kita tidak sedar bahawa sikap serta layanan kita sebagai ibu bapa telah membuatkan anak kita menjadi terlalu manja.
Usah Terlalu Manjakan Anak
Walaupun anak ini masih kecil lagi, tetapi mereka sebenarnya mempunyai keinginan untuk melakukan sesuatu perkara seperti orang dewasa. Kanak-kanak punya perasaan ingin tahu yang sangat tinggi dan sentiasa ingin meneroka persekitarannya.
Oleh itu, usah terlalu memanjakan anak kecil dengan melakukan semua perkara buat mereka. Layani sifat ingin tahu anak kecil ini dengan mengajar mereka untuk melakukan pelbagai perkara selari dengan umur dan tahap perkembangan mereka agar dapat membentuk pemikiran yang matang dalam diri mereka serta menjadikan mereka lebih berdikari.
Mari ikuti 7 tips ajar anak agar mereka dapat melakukan lebih banyak perkara dengan hasil usaha mereka sendiri.
7 Tips Ajar Anak Lebih Berdikari
Berikut merupakan 7 tips ajar anak yang terlalu manja ke arah menjadi individu yang lebih berdikari. Semoga bermanfaat buat semua ibu bapa di luar sana.
1. Beri Anak Masa
Kita semua sebagai ibu bapa sememangnya mahu sesuatu perkara itu diselesaikan dengan pantas, bukan? Namun, sejujurnya ia sukar berlaku sekiranya anak kecil membantu atau melaksanakan perkara tersebut buat kita. Apabila kita hilang sabar lantas menyuruh anak kecil tersebut ‘cepat, cepat, cepat’, pasti runtuh emosi anak yang ingin membantu kita pada waktu itu kerana ibu bapa tidak memberikan kepercayaan kepada mereka untuk melakukan perkara tersebut mengikut kemampuan mereka.
Bimbang tidak cukup masa atau risau terlewat? Lakukan perkara tersebut seawal 15 minit atau 30 minit daripada jangkaan selesai perkara itu. Beri anak masa untuk belajar melakukan serta menyelesaikan perkara yang mereka ingini. Siapa tahu, mungkin dengan bersabar sedikit sahaja lagi, anak kita sudah berjaya melakukan perkara tersebut?
2. Beri Anak Pilihan
Hidup ini penuh dengan pilihan. Anak kecil juga seharusnya turut diberi peluang untuk membuat pilihan selagi ianya tidak memberi kemudaratan buat dirinya.
Sebagai contoh, beri anak pilihan pakaian yang ingin dipakainya pada hari itu, memilih buku yang ingin dibaca, memilih permainan untuk dimainkan bersama, atau memilih makanan kegemaran mereka. Bantu anak kecil ini membuat pilihan agar mereka dapat belajar membuat pilihan terbaik. Terima pilihan mereka agar mereka turut merasakan bahawa pendapat mereka juga adalah penting serta boleh diguna pakai.
Dengan cara ini, anak kecil bukan sahaja dapat belajar membuat keputusan, malah dapat meningkatkan penghargaan kendiri (self esteem) mereka.
3. Biar Anak Buat Sendiri
Tips ajar anak yang seterusnya adalah dengan merelakan anak kecil untuk melakukan sendiri perkara yang ingin dicuba. Sebagai ibu bapa, usah terlalu cepat memberikan pertolongan untuk membantu mereka.
Sebagai permulaan, mungkin ibu bapa boleh menunjukkan cara-cara untuk melakukan sesuatu perkara itu. Kemudian, biarkan anak untuk melakukannya sendiri. Beri kepercayaan kepada anak kecil ini, lihat kemampuan mereka dan pantau keadaan mereka. Anak kecil akan belajar kesan dan akibat daripada percubaan mereka itu. Jika tidak, sampai bila ibu bapa mahu melakukannya buat si kecil ini, bukan?
4. Beri Arahan Jika Perlu
Sekiranya perlu, ibu bapa boleh memberikan arahan buat si kecil ini dalam proses mendidik mereka untuk menjadi lebih berdikari. Maklumkan kepada anak langkah demi langkah untuk melakukan sesuatu perkara itu agar anak dapat belajar dan memahami perkara tersebut dengan lebih baik lagi.
Arahan yang spesifik, jelas dan nyata daripada ibu bapa pasti dapat membantu anak melakukan sesuatu perkara tersebut dengan jayanya.
5. Wujudkan Persekitaran Mesra Kanak-kanak
Dalam mengajar anak untuk menjadi lebih berdikari, kita sebagai ibu bapa seharusnya mewujudkan persekitaran yang mesra kanak-kanak.
Sebagai contoh, letakkan pinggan dan cawan plastik di tempat yang mudah dicapai oleh mereka agar mereka dapat mengambilnya pada bila-bila masa apabila diperlukan. Atau sediakan botol plastik berisi air untuk dituang sendiri ke dalam cawan apabila mereka berasa haus dan ingin minum. Sekiranya air tertumpah, anak kecil ini perlu belajar untuk mengelap sendiri tumpahan air tersebut. Selain itu, ibu bapa juga boleh menyediakan kerusi buat si kecil untuk mencuci pinggannya sendiri di sinki selepas makan.
Cara in sangat bermanfaat buat si kecil untuk belajar berdikari dan mereka akan mencapai kepuasan apabila berjaya melakukan perkara tersebut dengan sempurna suatu masa nanti.
6. Tidak Mengharap Kesempurnaan
Berdikari merupakan proses pembelajaran yang panjang. Ianya tidak mungkin berlaku dalam tempoh yang singkat, dalam masa sehari atau pun dalam satu ke dua percubaan sahaja. Oleh itu, ibu bapa tidak seharusnya mengharapkan kesempurnaan dalam sesuatu perkara yang dilakukan oleh anak. Sekiranya ibu bapa sentiasa mengharapkan kesempurnaan daripada mereka, sudah pasti anak ini akan berasa tertekan dalam mempelajari serta melakukan perkara tersebut.
Kesilapan daripada mereka bukan bererti kegagalan. Hakikatnya, mereka sedang berusaha ke arah kesempurnaan setiap kali mereka melakukan perkara itu. Apabila tiba masanya nanti, mereka pasti akan berjaya melaksanakannya dengan sempurna.
7. Puji Kejayaan Anak
Apabila anak kecil berjaya melakukan pelbagai perkara dengan usaha mereka sendiri, jangan lupa untuk memberikan pujian kepada mereka!
Pujian daripada kita sebagai ibu bapa ini pasti membuatkan mereka berasa lebih gembira dan dihargai. Pujian ini juga dapat meningkatkan keyakinan diri dan semangat mereka untuk melakukan perkara tersebut dengan lebih baik lagi pada masa akan datang.
Didik Anak Berdikari Bukan Bererti Mengabaikan Mereka
Dengan mempraktikkan tips ajar anak untuk lebih berdikari seperti di atas, ia tidak bermakna ibu bapa mengabaikan tanggungjawab terhadap mereka. Ibu bapa perlu belajar melepaskan mereka untuk melakukan pelbagai perkara kerana mereka tidak selamanya kecil. Zaman kanak-kanak mereka sekejap sahaja akan berlalu pergi. Pejam celik pejam celik, mereka akan menginjak ke alam remaja dan dewasa. Anak-anak ini akan turut menjalani kehidupan yang mencabar seperti kita tidak lama lagi.
Oleh itu, bimbing anak kecil untuk berdikari dengan melakukan perkara baru setiap minggu. Kita pasti akan berasa gembira serta teruja melihat kejayaan mereka melakukan pelbagai perkara dari semasa ke semasa dengan hasil usaha mereka sendiri. Semoga, dengan usaha gigih ibu bapa mendidik anak untuk berdikari, anak-anak akan dapat menjalani kehidupan mereka dengan baik kelak.
Sumber: Sirap Limau