Kekal Bertenaga Dan Sihat Ketika Berpuasa Dengan Amalan Bersahur Dengan Oat



PUASA sememangnya bukan hanya suatu bentuk latihan rohani. Malahan, hasilnya juga sangat baik bagi kesihatan tubuh badan anda.

Terdapat banyak bukti yang menunjukkan bahawa puasa dapat meningkatkan tahap kesihatan , termasuk menurunkan berat badan beberapa kilogram. Kadar kolesterol, kadar gula darah, tekanan darah juga dapat mencapai tahap yang lebih sihat apabila berpuasa.

Namun, menjalani ibadah puasa bukanlah hal yang mudah bagi sesetengah orang. Menahan diri dari tidak makan dan minum sepanjang hari, disertai perubahan jam makan dan tidur, terasa semakin berat ketika harus bertahan dari lapar dan haus.

Wajar jika timbul pertanyaan makanan apa yang boleh membantu menahan lapar lebih lama?

Bersahur pada awal pagi hari, ketika tubuh badan sedang sedap tidur, membuat seseorang tidak mampu makan sejauh yang diperlukan.

Kebanyakan orang memilih untuk hanya mengambil minuman panas dan meratah lauk sahaja. Akibatnya, pada siang hari, badan tidak cukup cergas untuk tetap bekerja atau aktif kerana kekurangan tenaga.

Sehubungan itu, terdapat hasil penyelidikan di Amerika Syarikat (AS) yang menunjukkan bahawa mereka yang makan oatmeal untuk sarapan pagi ternyata akan turut kurang makan pada masa makan tengah hari dan malam.

Ini kerana dalam oatmeal terkandung serat larut yang menyerap banyak air dan memperlambatkan proses pengeluaran tenaga. Akibatnya, mereka berasa kenyang untuk lebih lama.

Mempertimbangkan hasil penelitian ini, oat memang merupakan makanan sahur yang bagus
 
Apa itu oat?

Oat lazimnya merupakan makanan pagi atau bijirin yang mengandungi protein dan serat yang sangat tinggi jika dibandingkan dengan karbohidrat lain seperti beras dan gandum.

Serat larut pada oat yang disebut-sebut itu memang sudah terbukti sangat membantu dalam menurunkan kadar kolesterol darah.

Di samping itu, karbohidrat kompleks membuatnya mampu menyimpan tenaga dan kekuatan yang lebih lama berbanding bahan tanaman sejenisnya.

Memang tidak keterlaluan jika oatmeal disebut sebagai makanan yang sangat sesuai dimakan apabila berpuasa pada bulan Ramadan, khususnya pada waktu sahur.

Menurunkan kolesterol

Pelbagai jenis penelitian telah pun membuktikan bahawa serat merupakan zat makanan yang sangat baik untuk membantu menurunkan berat badan, kadar gula darah dan kadar kolesterol darah.

Hasil penelitian James Andersen dari Kentucky, AS, membuktikan bahawa dengan memakan oatmeal sebanyak dua mangkuk, atau 10 sudu besar (lebih kurang 70 g) setiap hari, seseorang yang mengidap tekanan darah tinggi dapat menurunkan kadar kolesterol dalam darahnya sebanyak 20 peratus.

Angka tersebut diperoleh kerana pengambilan lemak berkurangan sebanyak lima peratus, manakala 15 peratus lainnya merupakan angka penurunan kolesterol dalam darah kerana mendapatkan serat larut dalam air.

Penelitian yang dilakukan oleh Van Horn dari American Heart Association pula membuktikan dengan mengambil hanya dua mangkuk makanan yang mengandungi serat larut dalam air seperti oatmeal, dapat menurunkan kadar kolesterol dalam darah sehingga 5.5 ke 6.5 miligram.

Penyelidikan lain di AS yang dilakukan ke atas 43,757 belia muda membuktikan bahawa mereka yang melakukan diet serat tinggi ternyata mempunyai risiko serangan jantung yang lebih rendah jika dibandingkan dengan mereka yang mengambil makanan serat rendah.

Penyelidikan yang dilakukan oleh National Heart, Lung and Blood Institute di Bethesdaa, Maryland, AS pula membuktikan bahawa setiap penurunan satu peratus kolesterol dalam darah akan mengurangi risiko serangan jantung sebesar dua peratus.

Seperti yang diketahui, salah satu penyebab penyakit jantung adalah kadar kolesterol dalam darah akibat pengambilan lemak yang terlalu banyak.

Selain harus mengurangkan makanan berlemak, menambah pengambilan makanan yang banyak mengandungi serat setiap hari boleh menurunkan kadar kolesterol dalam darah.

Dalam dunia perubatan, oatmeal khususnya Quaker Oat, telah mendapat perakuan sejak lebih 30 tahun dengan 37 penelitian klinikalnya dapat membuktikan bahawa ia mampu menurunkan kadar kolesterol dalam darah, sehingga baik untuk jantung.
 
Sumber serat makanan

Pertanyaan yang mungkin masih ingin diketahui adalah, apa sebenarnya serat makanan itu? Kebelakangan ini, kita sering mendengar orang mengucapkan perkataan serat yang dikaitkan dengan manfaat untuk kesihatan.

Yang dimaksudkan serat makanan adalah zat pada makanan yang tidak mengandungi khasiat tetapi besar manfaatnya bagi kesihatan.

Serat makanan yang lazimnya disebut dietary fibre, ataupun beta glucan perlu diambil setiap hari, secara teratur dan seimbang. Sementara itu, sisa makanan yang sulit dikunyah dan sering terselit di antara gigi disebut crude fibre atau serat kasar.

Serat makanan tidak dapat diserap oleh dinding usus kecil dan tidak dapat masuk ke dalam pengedaran darah. Di dalam usus besar, serat makanan mempunyai pengaruh yang sangat positif terhadap proses-proses di dalam saluran pencernaan dan penghadaman zat-zat pemakanan.

Serat terdiri dari dua jenis, iaitu serat yang larut dalam air dan serat yang tidak larut. Serat larut adalah serat yang membuatkan perut kenyang lebih lama, dan berkesan menurunkan kadar kolesterol dalam darah.

Sebaliknya, serat tidak larut adalah serat yang bermanfaat untuk mencegah sembelit dan menghindarkan risiko kanser perut.
 
Berlatih mengambil oat bila-bila masa

Oat sebagai bahan makanan memiliki banyak kelebihannya. Karbohidrat kompleksnya diketahui mampu memberikan tenaga dan kecergasan tubuh badan lebih lama dibandingkan dengan bahan tanaman sejenisnya yang lain.

Dengan kandungan serat larut yang tinggi, oatmeal memberikan rasa kenyang lebih lama apabila dimakan. Ciri-ciri makanan sebegini sangat sesuai bagi mereka yang ingin berpuasa, lebih-lebih lagi kerana cara penyediaannya yang amat mudah, tanpa memerlukan waktu yang lama.

Oat sangat sesuai diambil untuk sahur kerana kita boleh menambahkan gula merah, madu, atau susu rendah lemak dan memasaknya atau menambahkan air panas sekitar satu minit. Masa yang diperlukan tidak sampai lima minit untuk siap.

Bila suka, kita juga boleh menambah sayur-sayuran dan buah-buahan sesuai dengan selera, sehingga menjadi santapan yang berkhasiat lengkap.

Sekiranya anda mempunyai lebih masa, oat juga boleh dibuat variasi makanan aneka kuih, roti dan lain-lain, menurut kreativiti masing-masing. Variasi makanan ini tentu sahaja dapat menjadi makanan pembuka selera yang enak lagi berkhasiat.

Bagi orang yang tidak cukup waktu dan tidak suka mempersiapkan bermacam-macam makanan untuk sahur dan berbuka puasa, oatmeal dapat menjadi alternatif yang menarik bagi kesemua anggota keluarga.

Sumber: Utusan





Back To Top