LUMRAHNYA wanita suka bercakap. Bagaimana hendak mengelak daripada mengumpat?
Orang kata perempuan ni memang suka bercakap. Baik orang Terengganu atau orang Perlis, sama sahaja. Kalau dah perempuan memang dia suka bersembang. Ada juga perempuan pendiam. Itu satu dalam sejuta. Cuba perhatikan mak dan ayah kita. Siapa yang lebih banyak bercakap? Ayah kita senyap saja tetapi mak yang banyak cakap. Sebab itu Allah jadikan, tangan, kaki dan semua anggota lelaki kuat. Mulut sahaja tidak kuat.
Orang perempuan pula kaki tidak larat. Kalau berjalan, selalu tertinggal di belakang. Kalau angkat barang, rebah. Semua tak kuat. Satu saja yang kuat, mulut!. Sebab tu orang perempuan banyak masuk neraka kerana mengumpat. Jahat orang lelaki lain: mencuri, hisap dadah, rompak bank, berjudi dan laga ayam. Orang perempuan mulutlah jahatnya.
Bagaimana untuk tidak mengumpat?
Selalulah mendengar tazkirah tentang dosa-dosa mengumpat. Hadirlah selalu ke kuliah kerana mendengar kuliah ini ada kekuatan. Kalau seminggu sekali kita mendengar, seminggu sekali kita selamat. Kalau hari-hari kita dengar orang mengajar, maka ada kekuatan. Hendak main, mainlah. Hendak meniaga, meniagalah. Tetapi dalam sehari mesti hadir kuliah. Apabila kita hadir, malaikat akan mendoakan kekuatan bagi kita dalam menjana Islam dalam diri kita.
Kemudiannya, kita kenal pasti kawan-kawan yang suka mengumpat. Jadi jangan lepak dengan mereka. Memang tidak sedap. Lebih-lebih lagi jenis orang yang petang-petang pergi ke rumah jiran. Memang “seronok” bersembang cerita buruk orang.
Oleh sebab itu, kita hendaklah selalu ingat, kalau berzina Tuhan ampuni. Tetapi kalau mengumpat? Ada hadis menyebut bahawa ada seseorang yang suka berzina. Akhirnya dia bertaubat, lalu Tuhan ampunkan. Tetapi dosa mengumpat Allah tidak ampun melainkan dia kena beritahu orang yang diumpat itu. Susah? Memang susah. Manusia apabila hatinya kotor, dia suka cerita keburukan orang lain. Kalau hati dia bersih, dia tidak suka bercerita. Jadi kalau kita ingin kenal hati kita kotor atau bersih, perhatikan sama ada kita suka bercerita keburukan orang lain atau tidak? Ataupun kita suka tumpang dengar cerita keburukan orang lain.
Oleh sebab itulah, kalau kita pergi ke rumah orang, apabila dibawa cerita kebaikan orang, orang tidak mahu dengar. Tetapi kalau cerita keburukan, orang suka dengar. Contohnya semasa kenduri kahwin, apabila pengantin lelaki hitam dan pengantin perempuan putih, kita mengata. Apabila pengantin perempuan pula gemuk dan suami segak, kita mengata juga.
Ini semua kerana hati kotor. Allah berfirman yang bermaksud: “Pada hati mereka ada penyakit.” Sepatutnya kita kata: “Alhamdulillah”. Sudah jodoh dia. Jadi bersihkanlah hati kita semula. Apabila sahaja kejadian yang kita nampak kena bersangka baik.
Ustaz Azhar Idrus