Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mengadakan Qunut Nazilah pada solat Jumaat ini, untuk umat Islam Rohingya yang diseksa dan dibunuh di utara Myanmar.
Ketua Pengarahnya, Tan Sri Othman Mustapha berkata, Qunut Nazilah akan dibaca semasa solat Jumaat di semua masjid dan surau utama di bawah kendalian Jakim iaitu Masjid Negara Kuala Lumpur, Masjid Putra Putrajaya dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya serta di semua masjid dan surau di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).
“Jakim turut memohon kerjasama majlis agama Islam negeri dan jabatan agama Islam negeri di seluruh negara untuk meminta semua masjid di bawah kendalian mereka untuk turut sama mengadakan bacaan doa Qunut Nazilah pada tarikh berkenaan,” katanya dalam kenyataan, semalam.
“Qunut Nazilah sunat dibacakan ketika umat Islam didatangi bala bencana atau ditimpa musibah seperti ketakutan, ditimpa wabak dan sebagainya,” katanya.
Sementara itu, Othman turut meminta semua pihak berdoa agar masalah dihadapi masyarakat Islam Rohingya dapat diselesaikan dengan segera.
(Sumber: Sinar Harian)