8 Tips Lahirkan anak soleh
Anak
adalah rezeki daripada Allah yang sudah selayaknya pasangan suami isteri
bersyukur atas rezeki berkenaan. Dalam surah as-Syura ayat 49 dan 50, Allah SWT
berfirman yang bermaksud: “Kepunyaan Allahlah kerajaan langit dan bumi. Dia
menciptakan apa yang Ia kehendaki. Dia memberikan anak perempuan kepada siapa
yang Dia kehendaki dan memberikan anak lelaki kepada siapa yang Ia kehendaki.
Atau Dia menganugerahkan kedua jenis lelaki dan perempuan (kepada siapa yang Ia
kehendaki). Dan Dia menjadikan mandul kepada siapa yang Ia kehendaki.
Sesungguhnya Dialah yang Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa.”
Antara
bentuk rasa syukur adalah mengambil berat persoalan anak. Dengan demikian,
terjalin hubungan harmoni dalam keluarga, lahirlah anak yang taat kepada dua
ibu bapanya serta terbentuklah watak anak salih yang dapat membangunkan agama,
bangsa dan negara.
Islam adalah agama yang
sempurna. Islam sudah mengajar seluruh aspek kehidupan, termasuk hak anak yang
perlu dipenuhi oleh kedua ibu bapa. Antara hak anak dalam Islam iaitu hendaklah
mencari pasangan yang baik buat anak yang bakal dilahirkan hasil daripada
perkahwinan. Rasulullah SAW sudah mengajar pemuda yang ingin berkahwin agar
memilih wanita yang salihah.
Rasulullah
SAW bersabda yang bermaksud: “Seseorang wanita itu dinikahi kerana empat
perkara: kerana hartanya, kerana kedudukannya, kerana kecantikannya dan kerana
agamanya. Pilihlah wanita yang beragama, maka engkau akan beruntung – Hadis
riwayat al-Bukhari.
Kedua,
hendaklah membaca doa sebelum melakukan hubungan badan agar terhindar daripada
gangguan syaitan. Rasulullah SAW telah mengajar kepada kita seperti dalam satu
hadis Baginda bersabda: “Sekiranya seseorang di antara kamu ketika hendak
mendatangi isterinya, maka hendaklah ia membaca: “Bismillah, Allahumma
jannibnas Syaitana wajannibis syaitana ma razaktana. Maksudnya: Dengan nama
Allah. Ya Allah, jauhkanlah syaitan daripada kami dan jauhkanlah syaitan
daripada apa yang Engkau rezekikan kepada kami.
Jika
Allah takdirkan (dengan hubungan tersebut lahir) seorang anak, maka syaitan
tidak boleh memudaratkannya.” – Riwayat al-Bukhari.
Ketiga,
hendaklah mengambil berat bayi yang berada dalam kandungan ibunya. Perhatian
itu sama ada kesihatan bayi yang dikandungnya, mahupun sifat-sifat yang akan
diturunkan daripada ibu kepada anaknya.
Keempat,
seorang ibu hendaklah sedar terhadap apa yang dikerjakan sehariannya agar tidak
melakukan perkara buruk yang akan berpengaruh kepada bayinya nanti.
Kelima,
hendaklah menerima dengan senang hati bayi yang dilahirkannya sama ada
perempuan atau lelaki. Kerana ada di kalangan pasangan yang tidak suka jika
lahir anak perempuan. Sikap ini adalah sifat jahiliah yang perlu dijauhi. Orang
Quraisy pada zaman jahiliah apabila lahirnya anak perempuan, maka mereka
membunuhnya. Begitu juga kadang-kadang Allah SWT menguji ibu dan ayah dengan
anak yang kurang sempurna seperti buta, bisu, pekak. Sekiranya ibu bapa itu
menerima dengan berlapang dada, maka ia tetap berasa senang. Namun, sekiranya
ibu bapa tidak senang menerimanya, ia boleh membawa kepada penceraian atau
pembunuhan pada anak tersebut.
Keenam,
memberi nama anak yang baik. Sesungguhnya anak berhak untuk diberi nama yang
baik dan bagus didengar. Nama itulah yang akan mewakili dirinya untuk
kehidupannya kelak. Oleh itu, janganlah tersalah memberi nama. Janganlah diberi
nama yang ada unsur menyamai dengan agama lain atau ahli maksiat dan orang yang
terkenal kejahatannya. Berilah nama yang dianjurkan seperti nama yang
menunjukkan perhambaan kepada Allah, nama Nabi dan orang yang salih.
Ketujuh,
memberikan anak itu rasa aman dan tenteram daripada hal yang menakutkan dan
perkara yang boleh merosakkan akidahnya. Jangan suka menakutkan dengan
mengatakan kepadanya ada hantu kerana ia boleh merosakkan mental dan agamanya.
Kelapan,
memberi pendidikan agama yang cukup. Kesembilan, menjaga kesucian anak itu
dengan menikahkannya sekiranya rasa perlu dan mampu untuknya.
Demikianlah
antara hak-hak anak. Wallahua’lam
Sumber
: islamituindah