Banyak sebab yang membolehkan seseorang itu terpaksa meninggalkan salah satu rukun solat, iaitu berdiri tegak. Antaranya ialah kemalangan, sakit tenat, keuzuran, semasa dalam kenderaan, atau wanita hamil yang tidak mampu berdiri buat masa yang lama.
Keringanan Untuk Solat Duduk Dan Berbaring
Dalam semua keadaan ini, kita sebagai Muslim masih lagi diwajibkan untuk menunaikan solat. Namun, ia diberi keringanan untuk disempurnakan mengikut keupayaan kita pada ketika itu.
Menurut laman web JAKIM, orang yang uzur boleh solat secara duduk. Seperti dalam hadis berikut:
Dari Amir bin Abdullah bin Zubair r.a dari bapanya katanya: Apabila Rasulullah s.a.w duduk dalam solat, diletakkannya kakinya yang kiri antara paha dan betis serta menegakkan tumit kanan, meletakkan tangan kiri di lutut kiri, meletakkan tangan kanan di paha kanan dan menunjuk dengan telunjuk.
Pesakit yang solat duduk sama ada di atas kerusi atau lantai perlu sujud di lantai sekiranya mampu.
Cara Solat Duduk Bagi Pesakit Dan Ibu Hamil
1. Perlu Memenuhi Semua Rukun & Syarat Sah Solat
Walaupun solat duduk atau berbaring, solat yang dilakukan perlu memenuhi semua rukun dan syarat sah seperti dalam solat biasa, kecuali bagi yang tidak mampu dilakukan.
Contohnya, perlu menghadap kiblat, suci daripada hadas, dan menutup aurat sepenuhnya.
2. Hanya Dipraktikkan Semasa Menghadapi Kesulitan
Menurut JAKIM, pesakit boleh memilih untuk mengikut mana-mana pandangan mazhab fiqh yang sah dan tersohor, termasuklah pandangan yang lebih memudahkannya.
Namun, perlulah dipraktikkan hanya semasa menghadapi kesulitan.
Contohnya, pesakit yang tidak mampu sujud seperti biasa di atas lantai tempat solat dan mampu solat berdiri hendaklah solat berdiri dan tidak boleh solat duduk menurut mazhab Syafi’e.
Namun menurut mazhab Hanafi pesakit yang tidak mampu sujud seperti biasa di atas lantai tempat solat gugur daripadanya kewajipan berdiri dan boleh melakukan solat dalam keadaan duduk.
3. Mulakan Solat Dalam Keadaan Berdiri (Jika Mampu)
Pesakit yang mampu berdiri untuk solat fardhu (solat wajib) hendaklah memulakan solat dalam keadaan berdiri.
Contohnya, mungkin ada yang sakit lutut dan tidak boleh melipat kaki semasa duduk antara dua sujud. Tetapi, orang ini masih boleh berdiri dengan sempurna. Maka, perlu menggunakan kerusi dan mulakan solat dalam keadaan berdiri.
Jika langsung tidak mampu berdiri untuk solat, baru boleh duduk. Justeru itu, kita tidak boleh memulakan solat dalam keadaan duduk bagi yang mampu berdiri.
4. Tidak Boleh Berterusan Solat Duduk (Jika Mampu)
Jika kita mula solat dalam keadaan duduk, tetapi berasa mampu setelah itu (ketika masih di dalam solat), hendaklah kembali solat berdiri dan tidak boleh berterusan solat duduk.
Pesakit yang solat duduk dan mampu berdiri untuk ruku’ seperti biasa hendaklah berdiri (untuk iktidal) sebelum ruku’.
5. Hendaklah Sujud Di Lantai (Jika Mampu)
6. Sekiranya Tidak Mampu Solat Duduk, Mengiring Atau Berbaring
Pesakit yang tidak mampu solat berdiri boleh solat duduk. Jika tidak mampu solat duduk boleh solat mengiring. Jika tidak mampu solat mengiring boleh solat menelentang.
Rukun pergerakan solat yang tidak mampu dilakukan seperti biasa boleh dilakukan dengan isyarat badan seperti menundukkan badan untuk ruku’ dan sujud.
Jika tidak mampu dilakukan dengan isyarat badan boleh dilakukan dengan isyarat kepala. Jika tidak mampu dilakukan dengan isyarat kepala boleh dilakukan dengan isyarat mata. Jika tidak mampu dilakukan dengan isyarat mata boleh dilakukan solat di dalam hati.
7. Hanya Solat Sunat Boleh Dilakukan Secara Duduk Bagi Yang Mampu Berdiri
Solat sunat boleh dilakukan secara duduk walaupun bagi yang mampu berdiri, namun pahalanya hanya separuh daripada pahala solat berdiri.
Ringkasan Cara Solat Duduk Dan Baring Untuk Pesakit
Berikut adalah 4 keadaan solat yang biasa dilakukan oleh pesakit yang tidak mampu berdiri:
Sumber: Sirap Limau