Adakah Melilit Benang Hitam Pada Kanak-Kanak Amalan Syirik?

Antara amalan yang telah menjadi kebiasaan dalam masyarakat Islam kita, ialah suka melilit benang, atau tangkal, biasanya berwarna hitam pada tangan anak-anak. Amalan ini biasanya diberikan oleh bomoh dan dilakukan jika anak tersebut menangis tak henti-henti. Kononnya nak bagi berhenti menangis. Ini biasa sangat saya lihat di pusat rawatan.
Bila ditanya kenapa pakaikan benang itu, kata mereka saja-saja pakaikan. Dari segi akal pun tak boleh terima alasan yang diberikan. Biasanya, sebelum saya mulakan rawatan, saya akan minta ibubapa supaya buka benang tersebut.
Persoalannya, adakah amalan seperti ini diharuskan atau dibolehkan oleh syarak?
Sebenarnya amalan yang saya sebutkan di atas sememangnya bertentangan dengan ajaran Islam. Banyak hadis Rasulullah s.a.w yang melarang perbuatan memakai benang atau tangkal ini. Antaranya hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada ‘Uqbah ibn ‘Amir al-Juhani:
Maksudnya: ” Barangsiapa yang menggantung tangkal (tamimah), maka Allah s.w.t tidak akan menyempurnakan hajatnya dan barangsiapa yang menggantung objek seperti kulit siput (wad’ah), maka Allah s.w.t  tidak akan menenteramkannya”
Jelaslah dalam hadis di atas Rasulullah s.a.w melarang perbuatan memakai tangkal.  Tangkal merujuk kepada benang, tali atau apa sahaja yang dipakaikan pada badan dengan tujuan untuk mendapatkan sesuatu manfaat kepada sipemakainya.
Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah daripada ‘Imran bin Hussaian:
Maksudnya: “Rasulullah s.a.w telah melihat satu lilitan seperti gelang (halaqah) yang dipakai pada tangan seorang lelaki. lalu Baginda bertanya kepada lelaki tersebut, “Apakah yang kamu pakai itu?”. Lelaki itu menjawab,”Aku menjadikannya sebagai pendinding atau pengadang diriku daripada sebarang kelemahan.” Lalu Baginda bersabda kepadanya, “Buangkanlah ia kerana sesungguhnya, benda-benda seperti ini tidak akan menambahkan kepadamu melainkan kelemahan jua, sekiranya kamu mati dalam keadaan memakai benda seperti ini, kamu tidak akan memperoleh kejayaan selamanya”.
Di dalam hadis yang lain, iaitu daripada  Abu Bashir al-Ansari r.a yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim:
Maksudnya: “Daripada ‘Abbad ibn Tamim bahawa sesungguhnya Abu Bashir al-Ansari r.a memberitahunya bahawa sesungguhnya pada suatu ketika beliau (Abu Bashir) sedang bersama-sama dengan Rasulullah s.a.w dalam satu perjalanan (dengan menunggang unta), berkata Abdullah: Aku menyangka baginda bersabda “sedangkan manusia sedang tidur maka Baginda menghantar utusan untuk tidak membiarkan mana-mana unta yang ada tangkal di lehernya, agar semua tangkal-tangkal itu diputuskan dan dibuang”
Nabi s.a.w melarang perbuatan tersebut (memakaikan tangkal pada leher unta) kerana orang-orang Arab mempercayai dengan memakaikan tangkal pada unta, akan selamat dari gangguan. Kepercayaan sedemikian boleh membawa kepada perbuatan mensyirikkan Allah s.w.t.
Maka, perbuatan melilit atau membuat simpulan benang berwarna hitam, ataupun pelbagai warna, kemudian digantung pada leher atau diikat pada tangan atau pinggang kanak-kanak atau orang tua, dengan kepercayaan boleh memberikan manfaat adalah dilarang sama sekali oleh syarak, kerana ianya perbuatan mensyirikkan Allah s.w.t. Dan perbuatan syirik adalah dosa besar yang tidak akan diampunkan oleh Allah.
Terdapat juga di dalam hadis yang lain, yang diriwayatkan oleh al-Nasa’i daripada Abu Hurairah r.a:
Maksudnya: “Sesiapa yang menyimpulkan ikatan (benang), dan meniupnya (menjampi atau mantera untuk tujuan jahat), maka sesungguhnya dia telah melakukan sihir. Sesiapa yang melakukan sihir, maka dia telah mensyirikkan Allah s.w.t”
Kesimpulannya, saya menasihatkan agar buanglah jauh-jauh amalan memakaikan lilitan benang atau tangkal pada kanak-kanak atau pun sesiapa sahaja kerana perbuatan tersebut hanyalah perbuatan syirik yang menyebabkan kemurkaan Allah. Dan satu lagi perbuatan yang dilarang ialah elakkan berjumpa dengan bomoh.
Sumber: perawatislam.com

Labels: islamik, semasa
Back To Top