Bolehkah Manusia Melihat Makhluk Halus?

Dalam artikel saya yang lalu, saya telah kongsikan dengan anda apakah hikmahnya Allah s.w.t menjadikan kita tidak dapat melihat makhluk halus yang diciptakan oleh Allah.
Maka dalam artikel kali ini, saya nak kongsikan pula satu isu yang bagi saya agak kritikal. Mengapa saya katakan kritikal? Ini kerana perkara ini berkaitan dengan isu akidah kita. Isu tentang bolehkah manusia melihat makhluk halus?
Bila saya berhadapan dengan pesakit, sering mereka katakan pada saya yang mereka pernah berubat di tempat sekian sekian, dan perawat di sana mengatakan mereka dapat melihat makhluk halus yang ada dalam badan pesakit. Ada sesetengah perawat itu siap boleh nyatakan sekali jumlah bilangan makhluk halus tersebut. Betulkah begitu?
Di dalam al-Quran, Allah menjelaskan bahawa makhluk halus boleh melihat kita dalam keadaan  kita tidak boleh melihat mereka. Dalilnya di dalam surah al-A’raf ayat 27:
Maksudnya: “…Sesungguhnya syaitan dan kaumnya melihat kamu dalam keadaan kamu tidak dapat melihat mereka…”
Dalam ayat di atas, jelas mengatakan bahawa syaitan dan kaumnya dapat melihat kita dalam keadaan kita tidak dapat melihat mereka. Ini secara asasnya. Asalnya manusia memang tidak boleh melihat makhluk halus dalam bentuk rupa asal mereka yang diciptakan oleh Allah.
Tetapi, manusia masih dapat melihat makhluk halus ini apabila mereka telah menyerupai bentuk yang telah diizinkan oleh Allah s.w.t.
Antara bentuk yang diizinkan oleh Allah untuk mereka (makhluk halus) menyerupainya ialah manusia sendiri. Ini diceritakan sendiri oleh al-Quran iaitu di dalam surah al-Anfal ayat 48:
Maksudnya: “Dan ingatlah ketikan syaitan memperhiaskan kepada mereka perbuatan mereka (yang salah itu dipandang elok dan diteruskan), serta menghasut mereka dengan berkata: “Pada hari ini tidak ada sesiapa pun dari umat manusia yang dapat mengalahkan kamu dan sesungguhnya aku adalah pelindung dan penolong kamu”. Maka apabila kedua-dua puak (angkatan tentera Islam dan kafir musyrik ) masing-masing kelihatan (berhadap-hadapan), syaitan itu berundur ke belakang sambil berkata: “Aku berlepas diri daripada kamu kerana aku dapat melihat apa yang kamu tidak dapat melihatnya, sesungguhnya aku takut kepada Allah dan Allah sangat berat azab seksanya”
Di dalam Tafsir al-Qurtubi menceritakan tentang ayat di atas bahawa tentera musyrikin merasa takut untuk memerangi tentara Muslimin di dalam perang Badar. Kemudian tiba-tiba datanglah satu pasukan perang yang diketuai oleh Suraqah bin Malik bin Ju’asham dari suku Bani Bakr.
Quraisy sangat takut kepada Suraqah ini kerana permusuhan mereka dengan Bani Bakr. Jadi, apabila Suraqah telah memberikan jaminan untuk membantu tentera Musyrikin mengalahkan tentera Islam, barulah mereka merasa berani untuk berperang. Tetapi, apabil bermulanya peperangan, berlaku sesuatu yang tak diduga. Suraqah dan tenteranya lari meninggalkan medan peperangan yang akhirnya menyebabkan kekalahan tentera musyrikin.
Ayat ini telah ditafsirkan secara muktabar bahawa orang yang berkata-berkata dengan tentera Musyrikin itu adalah syaitan yang menyamar sebagai Suraqah bin Malik.
Satu lagi dalil dari al-Quran tentang penyamaran yang dilakukan oleh iblis laknatullah ialah seperti yang dirakamkan Allah di dalam al-Quran, surah al-Anfal, ayat 30:
Maksudnya: “Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang kafir Musyrik (Makkah) menjalankan perancangan jahat terhadapmu untuk memenjarakanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka menjalankan perancangan jahat dan Allah menggagalkan perancangan jahat (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan perancangan jahat”
Di dalam Tafsir al-Nasafi telah memberikan huraian tentang ayat di atas. Ia menceritakan tentang peristiwa orang kafir telah mengadakan satu pertemuan di Dar al-Nadwah. Tujuan pertemuan itu adalah untuk membuat keputusan tentang apakah tindakan yang akan diambil ke atas nabi Muhammad untuk menghentikan tugas dakwah Baginda.
Ketika mesyuarat berlangsung, tiba-tiba mereka didatangi oleh seorang pemimpin dari puak Najdi. Beliau datang secara khusus untuk memberikan pandangan di dalam mesyuarat tersebut. Akhirnya keputusan yang diambil dalam mesyuarat tersebut ialah untuk membunuh Nabi Muhammad s.a.w. Sebenarnya pemimpin dari puak Najdi itu ialah Iblis laknatullah yang telah menyamar sebagai manusia.
Dari dua dalil yang saya kongsikan dalam artikel ini, jelas bahawa makhluk halus mampu untuk berubah bentuk kepada apa sahaja yang diingini oleh mereka. Berbalik kepada persoalan asal dalam tulisan ini iaitu bolehkah manusia melihat makhluk halus.
Kesimpulannya ialah manusia tidak dapat melihat makhluk halus jika mereka di dalam rupa asal seperti yang diciptakan Allah. Ini berdasarkan dalil di dalam surah  al-A’raf ayat 27. Tetapi, jika mereka berubah atau melakukan penyamaran kepada bentuk yang lain, ketika itu kita dapat melihat mereka.
Tetapi apa yang saya nak tegaskan di sini ialah, apabila makhluk halus menyerupai sesuatu, sudah tentulah ianya dalam bentuk yang berjasad, yang dapat dilihat, contohnya manusia. Mustahil mereka akan menyamar sebagai angin. Dan kalau benar sekalipun, sudah tentulah kita tidak dapat melihat mereka sebagaimana kita tidak dapat melihat angin.
Jadi, mustahillah ada segolongan manusia yang mendakwa mereka ini dapat melihat dan mengetahui jumlah makhluk halus yang ada dalam badan seseorang. Ini  merepek. Oleh itu, jika anda pergi melakukan rawatan dan ada yang mendakwa ada 3 ekor jin dalam badan, terus tinggalkan pusat rawatan tersebut kerana ianya bercanggah dengan rawatan Islam yang sebenar.
Sumber: perawatislam.com

Labels: islamik, kesihatan
Back To Top