Soalan:
Apakah terdapat hadith bahawa lidah menjadi kelu apabila bercakap ketika azan ?
Jawapan :
Alhamdulillah,
segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar
Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta
orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Kita
sering mendengar orang mengatakan bahawa orang bercakap ketika azan,
lidahnya akan menjadi berat atau kelu untuk melafazkan kalimah tauhid
ketika hendak menghembuskan nafas yang terakhir atau meninggal.
Pertamanya, suka bagi kami untuk nyatakan terlebih dahulu berkaitan hukum menjawab azan sebelum kami menjawab soalan di atas:
Hukum Menjawab Azan
Hukum
menjawab azan adalah sunnah muakkadah (sunat yang dituntut). Ketika azan
dilaungkan, kita sebagai umat Islam dianjurkan agar meninggalkan segala
aktiviti yang sedang dilakukan serta dalam masa yang sama perlulah
menjawab azan sebagai satu bentuk penghormatan.
- Daripada Abu Sa’id al-Khudri bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا سَمِعْتُمُ النِّدَاءَ، فَقُولُوا مِثْلَ مَا يَقُولُ المُؤَذِّنُ
Maksudnya: “Apabila kalian mendengar adzan maka ucapkanlah seperti yang sedang diucapkan muadzin”. [Riwayat al-Bukhari (576)]
Berkaitan soalan di atas, hal
tersebut adalah tidak benar dan ia sama sekali tidak boleh disandarkan
kepada Nabi SAW. Ini kerana, kami tidak menjumpai asal baginya dan kita
juga sama sekali tidak boleh meriwayatkannya atau menyandarkannya kepada
Nabi SAW kerana ia merupakan satu pendustaan di atas nama junjungan
besar Nabi Muhammad SAW jika kita melakukan hal sedemikian.
Adapun
bercakap ketika azan dibolehkan dan ia tidaklah menjadi satu kesalahan
apabila melakukannya. Namun begitu, jika percakapan itu boleh
menyibukkan atau mengganggu seseorang itu dalam menjawab sepertimana
yang dilaungkan oleh muazzin, maka meninggalkannya adalah lebih utama
kerana menjawab azan adalah daripada sunnah.
Di dalam al-Muwatha’, Imam Malik telah meriwayatkan sebuah athar daripada Tha’labah, beliau berkata:
أَنَّهُمْ
كَانُوا فِي زَمَانِ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ يُصَلُّونَ يَوْمَ
الْجُمُعَةِ حَتَّى يَخْرُجَ عُمَرُ فَإِذَا خَرَجَ عُمَرُ وَجَلَسَ عَلَى
الْمِنْبَرِ وَأَذَّنَ الْمُؤَذِّنُونَ قَالَ ثَعْلَبَةُ جَلَسْنَا
نَتَحَدَّثُ فَإِذَا سَكَتَ الْمُؤَذِّنُونَ وَقَامَ عُمَرُ يَخْطُبُ
أَنْصَتْنَا فَلَمْ يَتَكَلَّمْ مِنَّا أَحَدٌ قَالَ ابْنُ شِهَابٍ
فَخُرُوجُ الْإِمَامِ يَقْطَعُ الصَّلَاةَ وَكَلَامُهُ يَقْطَعُ الْكَلَامَ
Maksudnya: Mereka
menunaikan solat Jumaat di zaman Umar bin al-Khattab sehingga Umar
keluar. Apabila Umar keluar dan duduk di atas mimbar maka azan
dilaungkan oleh muazzin. Telah berkata Tha’labah: Kami duduk dan
bercakap. Apabila muazzin selesai dan Umar pun berdiri untuk
menyampaikan khutbah maka kami pun diam dan tidak ada seorang daripada
kami pun yang bercakap. Telah berkata Ibn Syihab: Keluarnya imam
menghentikan solat dan khutbah imam menghentikan percakapan. [Lihat: al-Muwatha’ (215)]
Berdasarkan
athar di atas, jelas menunjukkan bahawa para sahabat RA bercakap ketika
azan sedang dilaungkan. Jika benar sebagaimana yang didakwa, maka para
sahabat adalah orang yang pertama akan meninggalkan hal tersebut.
Sunnah-Sunnah Ketika Azan (Bagi Pendengar)
Antara sunnah bagi orang yang mendengar azan adalah: [Lihat: al-Wasith, 1/82,83].
- Diam ketika mendengar azan dan menjawabnya samada dalam keadaan bersih atau berhadas, junub atau haidh, besar atau mumayyiz. Kemudian perlu menjawab apa yang diucapkan oleh muazzin kecuali pada lafaz (حي على الصلاة) dan (حي على الفلاح).
- Selawat kepada Nabi SAW dengan suara yang perlahan, kemudian memohon kepada Allah wasilah dan berdoa kepada-Nya selepas selesai azan dengan jarak yang tidak lama.
- Berdoa untuk diri sendiri kerana waktu tersebut adalah waktu yang mulia, berkat dan mustajab. Disunatkan berdoa selepas azan dan sebelum iqamah.
Penutup
Kesimpulannya,
walaupun kita dibenarkan untuk bercakap ketika azan tetapi yang lebih
baik adalah meninggalkannya melainkan apa yang diucapkan itu merupakan
hal atau perkara yang penting dan dalam masa yang sama ia tidak
mengganggu seseorang itu dalam menjawab apa yang dilaungkan oleh muazzin
kerana ia adalah sunnah yang dituntut di dalam agama. Akhirnya, semoga
Allah SWT memberi kita kefahaman di dalam agama serta memelihara lidah
kita daripada berdusta di atas nama Nabi SAW.
Wallahua’lam
Sumber: Mufti Wilayah