Saya pelik dengan sesetengah lelaki yang sanggup menduakan isteri untuk wanita lain. Adakah kamu lupa pengorbanan isteri kamu?
Ketika saya berkahwin, saya baru mula kerjaya saya sebagai seorang technician di ibu negara dengan gaji RM900 sebulan. Waktu itu saya hanya menyewa bilik, duduk serumah dengan satu keluarga yang lain dan kami hanya tidur beralaskan tikar dan beg sebagai bantal.
Saya hanya ada sebuah motosikal buruk Honda EX5. Kenderaan itulah yang saya guna untuk pergi ke mana-mana membawa anak dan isteri berjalan-jalan. Semasa isteri nak bersalin pun, saya guna motosikal yang sama bawa dia perig ke hospital.
Untuk mengurangkan bebanan saya, isteri saya mengambil upah menjaga bayi dan adakalanya buat nasi lemak untuk dijual di tingkat bawah pangsapuri.
Setelah dua tahun bekerja sebagai technician, saya tekad untuk sambung belajar. Isteri saya beri sokongan 100% dan pada masa itu hanya isteri yang bekerja. Saya tumpukan pada pelajaran saya.
Saya masih ingat lagi, ketika study, isteri saya study bersama. Sampai pernah isteri saya tidur bawah meja study saya di perpustakaan.
Tahun 2002, saya memperoleh ijazah saya dan tidak lama selepas itu saya mendapat tawaran bekerja di sebuah syarikat kontraktor. Masa itu pun, gaji taklah banyak mana tetapi saya sudah mampu memiliki kereta dan menyewa rumah sendiri. Isteri pun masih bekerja membantu saya.
Setiap susah payah saya, isteri memang selalu bersama saya. Dari mula sehinggalah kini.
Alhamdulillah, sekarang saya dah ada syarikat kejuruteraan saya sendiri. Saya mampu untuk membeli rumah yang selesa, kereta yang selesa untuk keluarga saya. Isteri saya pun sudah lama berhenti kerja. Saya pun kerja on off, kadang-kadang saja masuk ke pejabat. Banyak masa diluangkan bersama dengan keluarga.
Saya pernah diuji dengan perempuan ketika perniagaan saya tengah meningkat naik. Ramai yang mendekati saya. Tetapi saya selalu ingatkan diri tentang pengorbanan yang telah isteri lakukan untuk saya sehingga ke tahap saya pada hari ini. Mustahil untuk saya menduakan isteri saya atas segala pengorbanan yang dia lakukan untuk saya selama ini. Dari tidak mempunyai apa-apa sehingga mampu hidup senang sebegini.
Isteri saya, nyawa saya. Untuk lelaki bernama suami, ingatlah segala pengorbanan yang isteri anda lakukan untuk anda sebelum anda cuba untuk berlaku curang. Tatap wajah isteri anda, anak-anak anda. Ingat kembali waktu susah senang bersama mereka.