‘Bermula Dari Rumah’, Hidupkan 4 Perkara Ini Ketika Mendidik Anak-Anak



Cuti-cuti teringat akan kenangan zaman sekolah dahulu.

Sampai rumah tadi semua anak-anak buah datang berkerumun minta izin untuk bermain di luar. Jadi dengan kuasa veto yang diberi saya pun memberi lampu hijau.

Tengok anak-anak buah bermain bersama memang seronok sekali. Memang berbeza zaman mereka sekarang dengan zaman kami dahulu.

Zaman sekarang budak-budak banyak habiskan masa di depan skrin. TV, tablet, telefon bimbit. Walau seawal 1 tahun sudah pandai pegang gajet sendiri dan tekan-tekan, seolah-olah faham dengan apa yang ditengoknya.

Walhal zaman kami dulu, penuh warna warni. Main bubut, tangkap berudu di dalam longkang, panjat-memanjat dan macam-macam lagi. Banyak masa di luar. Kerja rumah pun bukan kisah sangat.
Cabaran sangat besar untuk ibu bapa sekarang. Antaranya apabila kita cuba kurangkan masa anak-anak depan gajet, kita nak biarkan mereka bermain di luar pun berfikir banyak kali sebab banyak kes penculikan.

Bila budak terperuk di dalam rumah pula, dorang hamburkan rumah dengan permainan dan menjadi medan imaginasi mereka. Rumah pun jadi tongkang pecah.

Makanya, berilah masa berkualiti bersama anak, anak buah atau anak jagaan anda. Anda akan lebih mengenali mereka. Mereka sememangnya perlukan perhatian kita.

Kajian menunjukkan ibu bapa yang kurang ambil perhatian terhadap anak mereka, anak-anak ini akan menghabiskan masa dengan orang yang boleh ambil perhatian mereka di luar sana.
Naaa… Itu yg muncul gejala budak Wechat, ravers sotong, main basikal sampai awal pagi, budak lahirkan budaklah dan lain-lain.

Ustaz-ustaz beritahu ada 3 peringkat anak-anak yang kita perlu beri pendekatan berbeza:

1. 0-7 tahun
Peringkat ini, kena banyakkan bermain bersama mereka. Jadikan diri kita kanak-kanak. Jatuhkan ego.
Pergi bermain tembak-tembak, jadi Boboiboy, Transformers, jadi kuda untuk mereka naiki, buat istana pasir di tepi pantai, main layang-layang… dannn… banyak lagi! Kembali jadi kanak-kanak riang!

2. 8-14 tahun
Peringkat ini kena tegas dengan mereka. Ajar solat mulai 7 tahun, rotan (beri peringatan) jika tidak solat pada umur 10 tahun.

Asingkan tempat tidur anak lelaki dan anak perempuan. Beri pendidikan terutamanya agama kepada mereka.

3. 15-21 tahun
Layan mereka seperti kawan kita. Didik mereka dengan cara orang dewasa. Ajar mereka buat keputusan sendiri.

Beri semangat, dorongan dan nasihat kepada mereka. Jadi pendengar yang baik. Selami jiwa mereka.

4. Selepas 21 tahun
Selepas 21 tahun, anggaplah mereka sudah cukup dewasa.
Hargai anak anda. Luangkan masa berkualiti bersama mereka.

Hidupkan 4 perkara ini

Ajaran pertama yang mereka terima adalah daripada rumah.

Maka ustaz pesan agar hidupkan rumah kita dengan suasana yang baik, iaitu:
1. Hidupkan percakapan baik-baik dan suasana ajak-mengajak kepada kebaikan. Tidak ada perkataan terbaik selain perkataan mengajak kepada Sang Pencipta.

2. Hidupkan suasana ajar mengajar, bacaan hadis, suasana penceritaan kehidupan para sahabat Nabi SAW.

3. Hidupkan suasana ibadat. Antaranya solat, bacaan Al-Quran, zikir dan doa.

4. Hidupkan suasana khidmat. Bergilir-gilir memasak, cuci baju, gotong royong bersihkan rumah, anak khidmat orang tua dan lain-lain.

Kajian menunjukkan lagi, anak tidak akan buat satu perkara dengan hanya mendengar (mendengar arahan contohnya “kau pergi kemas permainan kau sekarang”), tetapi anak akan buat satu perkara melalui pemerhatian (kita yang kemas permainan mereka sambil ajak “jom kemas bersama-sama sayangku.”)

Semoga kita diberi kefahaman untuk menjadi ibu bapa atau penjaga yang baik untuk anak-anak, anak buah atau anak jagaan kita.

Sumber: TheVocket

Back To Top