BALASAN KEBAIKAN DAN KEJAHATAN
Pada malam nabi di Israk dan Mi'rajkan maka nabi telah diperlihatkan kepada syurga dan neraka. Apabila nabi melihat syurga maka orang yang paling ramai menghuni syurga adalah orang fakir dan miskin. Manakala di neraka pula orang yang paling ramai menjadi penghuni neraka adalah kalangan wanita.
Firman Allah S.w.t di dalam Surah An-Nisaa' ayat 56-57:
Mafhumnya :
"Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat kami, kelak kami akan masukkan mereka ke dalam api neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka hangus, kami gantikan kulit yang lain untuk mereka supaya mereka dapat merasai azab sengsara itu (Ingatlah) sesungguhnya Allah adalah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana"
"Dan orang yang beriman serta beramal soleh, Kami akan masukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Mereka beroleh di dalam syurga itu pasangan-pasangan atau isteri-isteri yang suci, serta kami memasukkan mereka ke tempat yang teduh (lagi nyaman) yang berkekalan"
Allah s.w.t telah menceritakan mengenai cara penghuni neraka itu diazab. Apabila kulit tubuh mereka hangus terbakar, kulit yang baru akan tumbuh dan tubuhnya dibakar lagi sehingga hangus. Kemudian tumbuh lagi kulit yang baru dan dibakar lagi, dan begitulah seterusnya mereka diseksa berulang-ulang dengan penuh kesakitan. Perlu diingat bahawa penghuni neraka tidak akan mati kerana azab siksaan yang berterusan. Segalanya untuk merasai kesakitan dan kepedihan yang berterusan. Firman Allah dalam al-Quran:
"Muka mereka dibakar api neraka, dan mereka di dalam neraka itu dalam keadaan cacat ."
(Surah Al-Mukminun: 104)
"Bukan begitu: Sesungguhnya neraka itu menyala-nyala, lagi membongkar (mengelupaskan) kulit kepala."
(Surah Al-Ma'arij: 15-16)
"Pada hari itu seksaan menutupi mereka dari atas kepala dan dari bawah kaki. Ketika itu Allah berfirman: ‘Rasailah olehmu seksaan ini (hasil daripada) apa yang kamu usahakan di dunia.'"
(Surah Al-Ankabut: 55)
KEADAAN NERAKA
Sebagaimana hadis nabi yang telah diriwayatkan oleh Anas bin Malik, nabi telah bersabda: ketika mana Malaikat Jibril datang bertemu nabi dan menceritakan tentang neraka, Jibril mengatakan:
"Demi Allah yang mengutusmu dengan hak, andaikan seorang di hujung barat tersiksa nescaya akan terbakar orang yang berada di hujung timur kerana bersangatan panasnya (tersangat panas api neraka), Neraka Jahannam itu sangat dalam dan perhiasannya adalah besi, minumannya adalah air panas campur nanah dan pakaiannya adalah potongan-potongan api."
SEKSAAN DALAM NERAKA
Jibril menyatakan lagi:
"Maka diiring ke sana musuh-musuh Allah sehingga bila telah sampai ke pintunya disambut oleh malaikat Zabaniyah dengan rantai dan belenggu, maka rantai itu dimasukkan kedalam mulut mereka hingga tembus pada kemaluannya dan diikat tangan kiri pada lehernya sedangkan tangan kanan di masukkan kedada dan tembus pada bahunya dan tiap-tiap manusia digandingkan dengan syaitan lalu diseret tersungkur mukanya sambil dipukul oleh para malaikat dengan besi. Tiap kali mereka ingin keluar kerana sangat risau maka ditanamkan kedalamnya".
Abdullah bin Jubair meriwayatkan hadis dari Rasulullah s.a.w bersabda: "Bahawa di dalam neraka ada ular-ular sebesar leher unta, jika menggigit maka rasa pedih bisanya tetap terasa hingga 40 tahun. Juga di dalam neraka ada kala jengking sebesar keldai, jika menggigit maka akan terasa pedih bisanya selama 40 tahun".
SERINGAN-RINGAN SIKSAAN NERAKA
Daripada Nukman bin Basyir r.anhuma berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya seringan-ringan siksaan penghuni neraka pada hari Kiamat ialah seorang yang diletakkan di bawah tapak kakinya dua buah bara api neraka sehingga mendidih (dari sebab panasnya) otak yang ada di kepalanya. Dia tidak mengira bahawa ada orang lain yang lebih dahsyat daripadanya, padahal dialah orang yang paling ringan siksaannya" (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
PENGHUNI PINTU-PINTU NERAKA
Nabi bertanya:
"Siapakah penghuni pintu-pintu tersebut? Jawab Jibril:" Pintu yang paling bawah adalah untuk orang-orang munafik dan orang-orang kafir setelah diturunkan hidangan dari mukjizat nabi Isa."
Allah telah berjanji bahawa para pelaku maksiat dan dosa, tempat mereka di akhirat kelak adalah di neraka. Bagi syaitan, Iblis dan orang-orang kafir, ia akan berada di neraka buat selama-lamanya. Namun, bagi orang Islam yang berdosa (tetapi tidak mensyirikkan Allah), mereka akan tetap diseksa di neraka, walaupun akhirnya akan turut menempuh alam syurga.
Antara janji Allah dalam al-Quran mengenai seksa neraka yang akan dihadapi oleh para pelaku dosa adalah seperti berikut (yang bermaksud):
"Maka takutlah kamu kepada neraka yang bahan bakarnya ialah manusia dan batu-batu. Neraka itu disediakan bagi mereka yang kafir."
(Surah Al-Baqarah: 24)
"Barangsiapa yang menderhakai Allah dan Rasul-Nya dan melampaui batas larangannya, nescaya Allah memasukkannya ke dalam neraka, kekal di dalamnya. Dia menderita seksa yang hina-dina."
(Surah An-Nisa': 14)
"Allah telah menyediakan untuk mereka yang munafik laki-laki mahupun perempuan dan orang kafir itu neraka Jahannam. Mereka itu kekal di dalamnya. Allah melaknati mereka itu dan untuk mereka azab yang kekal."
(Surah At-Taubah: 68)
Neraka dalam bahasa arab disebut "an-Naar" yang bermaksud api. Neraka juga dinamakan an-Naar kerana bagi penghuni neraka, mereka disediakan tempat tinggal yang dibuat daripada api, pakaian daripada api dan mereka pun diseksa dengan api. Dalam hal ini Allah berfirman (yang bermaksud):
"Maka Kami memperingatkan kamu dengan neraka yang menyala-nyala, tidak ada yang masuk ke dalamnya melainkan orang yang paling celaka."
(Al-Lail: 14-15)
Api neraka adalah api yang maha panas. Panasnya api neraka berjuta kali ganda melebihi kepanasan api yang ada di dunia ini. Malah, bumi ini pasti hancur berkecai jika api neraka yang hanya sebesar zarah jatuh ke atasnya.
Ada sebuah hadis daripada Ibnu Mas'ud radiallahuanhu, bahawasanya Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam bersabda (yang bermaksud):
"Adapun panas api yang kamu nyalakan di dunia ini (termasuk matahari) hanya sepertujuh puluh daripada panasnya api neraka di akhirat. Kalau sedikit sahaja jatuh ke atas dunia, nescaya mendidih air laut kerana panasnya."
PANAS API NERAKA
Hadis yang diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a ia berkata bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda: "Dinyalakan Api Neraka itu selama seribu tahun sehingga berwarna merah, kemudian dilanjutkan seribu tahun sehingga putih, kemudian dilanjutkan seribu tahun sehingga hitam gelap bagaikan malam yang gelap gelita"
Sebagaimana hadis nabi yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a, nabi Muhammad s.a.w telah bersabda: "Kepanasan api kamu yang digunakan oleh anak adam di dunia ini hanyalah 1/70 kepanasan api Neraka Jahannam". Sahabat bertanya: "Demi Allah! Sesungguhnya sekadar itu pun cukuplah untuk menyiksa". Baginda s.a.w bersabda: " Mekipun demikian, kepanasan Neraka Jahannam ditambah melebihi kepanasan api dunia sebanyak 69 bahagian yang tiap-tiap satunya seperti kepanasan api dunia ini" (Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan Tirmizi)
PINTU-PINTU NERAKA
Jibril menyebut lagi:
"Api neraka itu ada mempunyai tujuh pintu, tiap-tiap pintu ada bahagian yang tertentu dari laki-laki dan perempuan. Nabi lalu bertanya: Apakah pintu-pintunya bagaikan pintu rumah kami?. Jawabnya: Tidak, tetapi selalu terbuka, setengahnya di bawah dari lainnya. Dari pintu ke pintu adalah jarak perjalanan tujuh puluh ribu tahun, tiap pintu lebih panas dari pintu yang lain tujuh puluh kali ganda."
Melalui petunjuk hadis, diketahui bahawa neraka itu terdiri daripada tujuh pintu (yang juga bererti tujuh tingkat). Nama-nama tingkat neraka itu pula menurut al-Quran adalah:
1. Neraka Jahannam
"Katakanlah kepada orang kafir itu: Nanti kamu dikalahkan oleh orang Islam, dan dihimpunkan kamu ke dalam neraka Jahannam. Di sanalah tempat yang seburuk-buruknya." (Ali Imran: 12)
2. Neraka Luza
"Maka, Kami memperingatkan kamu dengan neraka yang menyala-nyala. Tidak ada yang masuk ke dalamnya kecuali orang yang paling celaka. Yang mendustakan (kebenaran) dan berpaling (daripada iman)." (Surah Al-Lail: 14-16)
3. Neraka Hathamah
"Sebenarnya dia akan dilemparkan ke dalam neraka Hathamah. Tahukah engkau apakah Hathamah itu? Iaitu api neraka yang bernyala-nyala. Yang membakar hati manusia. Api yang ditutupkan kepada mereka. Sedangkan mereka itu diikatkan kepada tiang yang panjang." (Surah Al-Humazah: 4-9)
4. Neraka Sair
"Bahawasanya orang-orang yang memakan harta anak yatim dengan menganiayai mereka (anak yatim), sesungguhnya mereka memakan api sepenuh perutnya. Dan nanti mereka akan dimasukkan ke dalam neraka Sair." (Surah An-Nisa': 10)
5. Neraka Saqar
"Di dalam syurga mereka saling bertanya dari hal orang berdosa. Apakah sebabnya kamu masuk neraka Saqar. Jawabnya: ‘Kerana kami tidak sembahyang, tidak memberi makan orang miskin, kami percaya kepada yang bukan-bukan. Kami mendustakan hari kiamat.'" (Surah Al-Mudasir: 40-46)
6. Neraka Jahim
"Ambillah orang-orang yang berdosa itu, dan bawalah ke dalam neraka Jahim. Sesudah itu tumpahkan ke kepalanya air panas untuk menyeksanya. Rasailah seksaan itu, sesungguhnya (kamu) dahulu orang yang gagah lagi mulia. Inilah seksa yang kamu ragu-ragukan pada masa dahulu itu." (Surah Ad-Dukhan: 47-50)
7. Neraka Hawiyah
"Dan barangsiapa yang ringan timbangannya, maka dia dilemparkan ke neraka Hawiyah. Tahukah engkau apakah neraka Hawiyah itu? Iaitu api yang sangat panas." (Surah Al-Qari'ah: 8-11)
JURANG API NERAKA
Nabi bersabda riwayat dari Abi Hurairah r.a:
Adalah kami (pada suatu hari) bersama-sama dengan Rasulullah s.a.w, tibab-tiba terdengar suara benda yang jatuh dengan keras, lalu nabi bersabda: "Tahukah kamu suara apakah ini?. Kami menjawab: "Allah dan rasulNya lebih mengetahui". Lalu Nabi s.a.w bersabda: " Ini adalah (suara) sebiji batu yang dilemparkan ke dalam api neraka sejak tujuh puluh tahun yang lalu, maka batu itu terus saja menjunam menuju ke dasar neraka dan baru saat ini ia sampai ke dasarnya. Maka dari itu kamu mendengar suara jatuhnya". ( Hadis Riwayat Muslim)
BESARNYA NERAKA
Dari Abdullah bin masud r.a ia berkata: Rasulullah s.a.w telah bersabda: "Dibawa Neraka Jahannam pada hari itu( kiamat) dengan 70,000 tali penarik dan pada setiap tali itu ada 70,000 malaikat yang menariknya"( Hadis Riwayat Bukhari)
CARA MEMASUKI API NERAKA
Sesungguhnya neraka itu dimasuki dengan dua cara;
1. Dihalau dan dilemparkan masuk ke neraka. Cara ini digunakan kepada mereka yang kafir, munafik dan Iblis.
2. Dengan meniti Titian Shirathal-Mustaqim. Cara ini akan dilalui oleh umat bertauhid, umat Nabi Muhammad s.a.w, dan umat nabi-nabi yang terdahulu, baik mereka yang beramal soleh mahupun mereka yang derhaka. Bagi mereka yang akan masuk syurga, mereka akan selamat melalui titian ini. Namun bagi mereka yang diputuskan hukumannya di neraka, mereka akan terjatuh ke dalam lubang neraka Jahannam.
Al-Qurtubi menulis, "Pada waktu api membakar itu, maka mengelupas seluruh kulit, gugur daging yang melekat di tubuh dan kelihatan tulang memutih. Mereka meronta-ronta kesakitan, memekik sekuat-kuatnya. Mereka menangis. Air mata bercucuran. Habis air mata, maka keluarlah darah. Terjadinya pelbagai penyesalan, namun sedikit pun tiada gunanya..."
Walaupun mereka menangis air mata darah sekali pun, penghuni neraka sudah tidak akan lagi mendapat keampunan daripada Allah, kecuali mereka yang di dalam hatinya masih ada keimanan kepada Allah s.w.t. Segala penyesalan sudah tidak berguna lagi. Tiada ahli keluarga dan rakan-rakan yang akan dapat membantu. Sehingga malaikat penjaga neraka iaitu Malaikat Malik (Ketua) dan Malaikat Zabaniyah pun tidak akan dapat berbuat apa-apa untuk menyelamatkannya daripada terus diazab. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
"Rasalah olehmu, kerana kamu melupakan peristiwa yang akan terjadi pada hari ini. Kerana itu maka Kami melupakan kamu pula. Dan rasalah seksaan itu selama-lamanya. Hal ini adalah kerana amal perbuatan kamu sendiri."
(Surah As-Sajadah: 14)
Sumber: JAIS